Malaysia Komited Selesai Konflik Melalui Dialog Aman, Konstruktif – PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain menyokong padu multilateralisme Malaysia juga komited untuk menyelesaikan konflik melalui dialog aman dan konstruktif.

Berucap pada penutup Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-13 (ASEM 13) pada Jumaat, beliau berkata Malaysia juga sangat menekankan kepentingan keamanan, keselamatan dan kestabilan global.

“Kami berpegang kepada kewujudan bersama secara aman. Kami melihatnya sebagai satu cara untuk menyelesaikan isu geopolitik sedia ada, integriti wilayah dan kedaulatan negara lain,” katanya pada sidang kemuncak secara maya itu.

Perdana Menteri juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap proses ASEM untuk menangani isu serantau dan antarabangsa.

Konsep Mesyuarat Asia Eropah (ASEM), berkumpul dalam satu keluarga besar mampu menjadi asas bagi negara anggota mengukuhkan interaksi, tindakan dan keterlibatan dalam menyelesaikan isu.

Selain itu katanya dengan mengukuhkan perpaduan, kedua-dua rantau akan dapat memastikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran.

Beliau berkata dengan menumpukan kepada persamaan, negara akan dapat berhubung dengan lebih baik dan berfikir secara lebih strategik.

“Dengan memahami perbezaan antara satu sama lain, kami membina keupayaan untuk berasa empati terhadap orang lain. Dengan bersatu sebagai sebuah keluarga, kami dapat melakukan lebih lagi dan meraikan kemanusiaan,” katanya.

Ismail Sabri turut menekankan mengenai kebimbangan Malaysia terhadap situasi di Myanmar dan berharap demokrasi akan dapat dikembalikan di negara itu tidak lama lagi.

Beliau menambah Malaysia tetap komited menyokong usaha Duta Khas ASEAN untuk mencari penyelesaian secara aman di Myanmar.

“Kami juga berharap keadaan tidak terus meruncing. Ini akan memberi kesan buruk kepada proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar,” katanya.

Menurutnya, atas dasar kemanusiaan, Malaysia terus menghulur bantuan serta perlindungan kepada Rohingya.

ASEM terdiri 21 negara Asia, 28 negara Kesatuan Eropah (EU), dua negara Eropah, Sekretariat ASEAN dan Suruhanjaya Eropah. ASEM ditubuhkan pada 1 Mac 1996 bertujuan memupuk dialog dan kerjasama antara Asia dan Eropah.

Malaysia menyertai ASEM pada 1996 dan sejak itu aktif mengambil bahagian dalam semua inisiatif ASEM yang memberi manfaat kepada kedua-dua rantau.

Tema tahun ini “Strengthening Multilateralism for Shared Growth” bertepatan dengan usaha ASEM dalam menangani cabaran global melalui dialog.

Sidang kemuncak dua hari itu dipengerusikan Kemboja. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.