Dap Semakin Sombong Dengan Kuasa, Rintihan Rakyat Tidak Dipeduli

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Jurucakap MCA Mike Chong Yew Chuan berkata jelas sekali Dap semakin sombong setelah berkuasa dan sudah sampai masa mereka belajar bahawa suara dan sokongan rakyat tidak boleh diambil mudah.

Katanya, jika sebelum ini Dap berjanji berkhidmat kepada masyarakat, sekarang masa untuk dihukum kerana tidak mengendahkan kepentingan masyarakat dan cukuplah tiga belas tahun rakyat menderita di bawah pemerintahan mereka.

Jelasnya, sejak diterajui Dap, negeri Pulau Pinang dilihat terpalit masalah demi masalah sepanjang tiga belas tahun pemerintahan mereka bermula dari skandal projek terowong bernilai RM6.3 bilion yang masih belum mula dibina dan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada pihak swasta, Dap dilihat semakin rakus sehingga kepentingan rakyat negeri diabaikan begitu sahaja.

“Baru-baru ini, Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) telah mengeluarkan kenyataan untuk membantah dua projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) dan di Bagan Ajam, Butterworth yang dibimbangi akan menjejaskan mata pencarian mereka.

“Ini bukan kali pertama projek tersebut menerima bantahan penduduk berdekatan, tetapi seperti biasa, kerajaan negeri dilihat tidak mengendahkan suara mereka.

“Turut dibantah Pen Mutiara adalah pengambilalihan tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung untuk rancangan pembangunan jeti pendaratan tuna oleh sebuah syarikat swasta,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web rasmi MCA hari ini.

Ulasnya lagi, harus ditekankan bahawa rakyat bukan membantah pembangunan, tetapi pembangunan itu haruslah mengambil kira kepentingan dan suara nelayan di kawasan tersebut kerana golongan inilah yang akan paling terkesan sekiranya projek tersebut dijalankan.

“Malangnya, berdasarkan sikap diktator yang dipamerkan Dap sepanjang tiga belas tahun mereka menerajui Pulau Pinang, ia dikhuatiri bahawa rintihan nelayan ini sudah pasti akan tidak diendahkan juga, sama seperti sebelum ini.

“Lihatlah contoh Bukit Relau yang ‘dibotakkan’ kerajaan negeri walaupun dibantah persatuan-persatuan alam sekitar dan masyarakat tempatan. Sama juga dengan projek-projek pembangunan berleluasa di lereng bukit sehingga berlakunya tanah runtuh yang meragut nyawa serta menyebabkan banjir kilat berlaku,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.