Calon Wanita Muda, Dira Berbesar Hati Amanah Diberikan Parti

JASIN, 8 Nov – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Khaidhirah Abu Zahar berjanji tanggungjawab yang digalas beliau sebagai calon wanita muda parti akan dilakukan sebaiknya untuk rakyat.

Katanya, tempoh untuk menghadapi berbaki dua minggu ini amat penting buat beliau bagi memperoleh amanah daripada pengundi di sini.

“Sebenarnya menjadi calon ini sendiri hingga sampai ke tahap ini bukan sahaja untuk wanita muda tetapi untuk semua sebenarnya khususnya di DUN ini.

“Saya mewakili golongan muda diberikan amanah menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin andai kata dipilih 20 Nov ini tetapi juga saya mewakili keseluruhan DUN Rim khususnya tidak kira Melayu, Cina dan India,” katanya selepas ditemui menghadiri Pusat Penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Jasin, Lipat Kajang, di sini hari ini.

DUN Rim menyaksikan berlaku tiga penjuru di antara calon dari BN, Perikatan Nasional (PN) (Azalina Abdul Rahman) dan Pakatan Harapan (PH) (Prasanth Kumar A/L Brakasam).

BN mempertaruhkan Khaidhirah atau Dira, 37 tahun yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta satu-satunya pemimpin Pergerakan Puteri UMNO negeri yang dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bekas pelakon dan pengarah itu juga merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar.

BN kali ini mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu pada hari pengundian yang bakal berlangsung pada 20 Nov depan menyaksikan keseluruhan UMNO diwakili 20 calon, tujuh MCA dan satu daripada MIC.

28 peratus daripada itu pula adalah 45 tahun ke bawah, lima adalah wanita, empat daripada itu adalah UMNO dan satu MCA. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.