Skuad Keluarga Malaysia Selaraskan Semua Mekanisme Bantuan Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Skuad Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berfungsi untuk menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan untuk rakyat memerlukan di seluruh negara, di bawah satu jentera.

Ismail Sabri berkata Skuad Keluarga Malaysia akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.

“Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini, yang turut disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata setiap kementerian dan agensi sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat.

Katanya ini adalah langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan. Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif untuk rakyat dengan pantas dan berkesan.

Ini merupakan usaha mencari kebersamaan agar pihak berkepentingan utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya, kata beliau.

Justeru itu, Perdana Menteri berkata penyelarasan berterusan antara kementerian-kementerian telah merangka pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan.

Ismail Sabri berkata nilai toleransi masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan kaum dalam Keluarga Malaysia sudah wujud puluhan tahun dan mampu dipertahankan jika Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mencetuskan konflik dan perbezaan.

“Rasa kesyukuran terhadap toleransi ini telah diterjemahkan sebagai antara ciri Keluarga Malaysia. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali keutamaan kita adalah untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah,” katanya

Beliau berkata usaha memulihkan negara akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang dimiliki, seterusnya membolehkan kerajaan membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu, pasca pandemik.

“Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan.

Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.