Penggulungan Hari Terakhir RMK12 Di Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Hari terakhir sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini akan melibatkan tiga kementerian selain lima portfolio di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tiga kementerian itu ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Belia dan Sukan.

Lima portfolio di bawah JPM pula ialah Parlimen dan Undang-Undang, Ekonomi, Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Agama.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada permulaan persidangan Dewan Rakyat hari ini akan menyentuh isu berkaitan butiran proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah-sekolah termasuk kosnya yang dibangkitkan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) kepada Menteri Pendidikan.

Selain itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah keseluruhan projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri hingga 2021 dan punca ia berlaku serta penyelesaiannya.

Turut dibangkitkan pada sesi itu, soal penangguhan penguatkuasaan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina bermula 1 Okt 2021, yang diajukan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi sesi soal jawab lisan pula, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Kesihatan menyatakan perkembangan semasa pembangunan vaksin COVID-19 pertama negara yang dimulakan sejak November tahun lepas.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai keberkesanan usaha bagi membendung sindiket jenayah pemalsuan kad pengenalan dan usaha untuk memperbaharui kad pengenalan dengan ciri-ciri keselamatan lebih canggih.

Persoalan berhubung penetapan harga siling kit ujian kendiri COVID-19 dan tindakan terhadap penjualan alat pulse oximeter palsu di pasaran akan dibangkitkan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.