Kemelut Politik Melaka: Bersediakah Generasi Muda Berdepan Norma Baharu Politik Yang Dinamik? – Exco Puteri

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Musliha Khoruddin menganggap generasi muda hari ini terdedah dengan norma politik baharu yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila politik semakin dinamik dan rumit untuk ditafsirkan.

Persoalan yang dilontarkannya, bersediakah generasi muda berdepan dengan norma politik baru?

“Negara digemparkan sekali lagi dengan isu politik seperti tiada penghujungnya. Bermula daripada keputusan PRU-14, PH memenangi pilihan raya, runtuh selepas 22 bulan dan PN mengambil alih, perdana menteri bertukar dan kemudian bertukar lagi.

“Keruntuhan Kota Melaka lain pula kemelutnya. Jika dulu, UMNO berdepan dengan musuh politik, kini kejatuhan Kota Melaka adalah kerana UMNO menyingkirkan UMNO,” katanya dalam kenyataan media berkaitan kemelut politik Melaka yang tercetus semalam.

Ujarnya, pengertian ini mungkin boleh ditafsirkan sebagai suatu pengkhianatan, kegilaan jawatan atau keputusan kerana ketidakpuasan hati.

“Walau apapun tafsirannya, adakah ini legasi politik yang ditinggalkan dari konteks pendidikan untuk generasi muda?

“Perjuangan UMNO itu jelas. Hari ini, pembangunan negara yang dinikmati dari segala sudut adalah bermula dari UMNO.”

Ujarnya, persengketaan dalam politik bukan perkara baru dalam UMNO kerana kewujudan Semangat-46, PKR, BERSATU adalah datangnya daripada serpihan UMNO dan kemudian menjadi titik sejarah apabila pertembungan di antara pemimpin UMNO menjatuhkan Kerajaan UMNO dan Melaka sekali lagi menjadi Bandaraya Bersejarah.

Dilaporkan, semalam empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12.

Kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 (BN-UMNO), dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah).

Berikutan penarikan sokongan empat ADUN itu kerajaan kepimpinan Sulaiman kini mempunyai sekadar 13 kerusi daripada 28 kerusi DUN, secara teknikal beliau kehilangan majoriti di DUN untuk terus menerajui kerajaan Melaka.

Sekiranya Sulaiman yang juga ADUN Lendu terpaksa meletakkan jawatan, Melaka pastinya bakal menyaksikan pelantikan ketua menteri baharu iaitu yang ketiga setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 9 Mac 2020, Sulaiman, setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari dari PH. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.