M-WEZ: Pencetus Perubahan Kepada Kepada Pembangunan Melaka – Ketua Menteri

MELAKA, 22 Sept – Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) bakal menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan Melaka bagi tempoh 25 hingga 30 tahun akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman (BN-Lendu) berkata projek berkenaan dilihat mempunyai potensi untuk memperkukuhkan Melaka sebagai negeri berasaskan pelancongan di samping menerapkan ciri-ciri baharu yang bersepadu seperti pusat pelancongan antarabangsa, pusat komersil berasaskan Bandar Pintar, Revolusi Perindustrian 4.0, Pusat Logistik Marina, pusat budaya gaya hidup moden dan lain-lain.

“Secara umumnya, wilayah ekonomi koridor yang diwujudkan oleh kerajaan negeri ini memberi penekanan ke arah mempromosikan pembangunan ekonomi yang seimbang serta saksama di seluruh negara.

“Kita menyedari Melaka tidak termasuk dalam mana-mana koridor ekonomi wilayah sedia ada di Malaysia seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (Johor), Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Malaysia Vison Valley (Negeri Sembilan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul Rang Undang-Undang Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021 bagi bacaan kali kedua di Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata pembangunan M-WEZ boleh menjadi pelengkap kepada wilayah ekonomi sedia ada di samping meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat.

Menurutnya, M-WEZ juga akan dibangunkan dengan mengambil contoh pembangunan persisiran pantai di tempat lain seperti Dubai, Hong Kong dan Toronto di Kanada.

“Secara keseluruhannya, M-WEZ memfokuskan kepada pembangunan persisiran pantai di kawasan tambakan laut sedia ada dengan keluasan sejumlah 10,117.14 hektar bermula dari Pantai Puteri sehingga Umbai di sepanjang 33 kilometer (km) pesisir pantai Melaka.

“Daripada jumlah ini, 3,035.14 hektar ditetapkan sebagai zon kawalan manakala baki 7,081.99 hektar adalah zon pembangunan yang akan menjadi ‘economy enabler’ (pendaya ekonomi) bagi Melaka,” katanya.

Beliau berkata menerusi M-WEZ juga kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion dan seterusnya menyumbang kepada pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak lima peratus atau RM2 bilion setahun.

“M-WEZ juga dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan baharu setiap tahun dan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat setempat,” katanya.

Sulaiman berkata selain itu, projek penambakan laut berkenaan juga dijangka mampu mengurangkan impak terhadap evolusi urbanisasi berikutan berlakunya peningkatan mendadak terhadap kadar perbandaran iaitu 95 peratus pada 2020 berbanding 23 peratus pada 1980.

“Dengan keluasan tanah pembangunan yang terhad, kepadatan penduduk Melaka berada pada kedudukan keenam tertinggi iaitu 544 orang penduduk per kilometer persegi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Berdasarkan statistik ini, ia jelas menunjukkan keperluan kerajaan negeri untuk mencari sumber alternatif baharu bagi menampung kepadatan kependudukan untuk perancangan jangka masa panjang melalui tumpuan pembangunan ekonomi pesisiran pantai yang hanya mengambil 2.16 peratus nisbah tambakan berbanding keseluruhan jumlah keluasan tanah di Melaka seluas 2,270 kilometer persegi,” katanya.

Usul berkenaan kemudiannya disokong Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) dan dibahaskan Ketua Pembangkang Adly Zahari (PH-Bukit Katil), Datuk Hasan Abd Rahman (BN-Sungai Rambai), Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) dan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam).

Rang undang-udang berkenaan kemudiannya diluluskan selepas mendapat 16 undian menyokong berbanding 11 undian tidak menyokong manakala seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak hadir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.