Melaka Dijangka Masuk Fasa Tiga PPN Oktober Ini – Ketua Menteri

MELAKA, 21 Sept – Melaka menyasarkan 100 peratus rakyat divaksin dicapai seawal mungkin dan melangkah ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada pertengahan Oktober ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata antara inisiatif yang dijalankan ialah membuka 98 pusat pemberian vaksin (PPV), menjalankan aktiviti pemberian vaksin secara ‘outreach’ oleh pasukan bergerak Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terpencil.

“Melaka juga telah membenarkan ‘walk-in’ (jumpa terus) kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bermula 19 Julai lepas dan penduduk berumur 50 tahun ke atas bermula pada 30 Ogos.

“Penduduk 18 tahun pula dimulakan pada 3 Sept di PPV Mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin secara berperingkat dengan keutamaan kepada penduduk warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam usul ucapan terima kasih ke atas ucapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14.

Sementara itu, Sulaiman berkata sebanyak 77 peratus atau 521,858 rakyat Melaka berusia 18 tahun ke atas telah lengkap dua dos vaksinasi COVID-19 setakat 18 Sept lepas.

Beliau berkata sehingga 1 Sept, Melaka mencatat 5.7 kes COVID bagi setiap 100,000 penduduk, vaksinasi melebihi 50 peratus penduduk dewasa dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) pada tahap sederhana (melebihi 70 peratus kes) sekali gus bergerak ke Fasa Dua PPN pada 4 Sept.

“Selain itu, setakat 12 tengah hari 18 Sep lepas juga, terdapat tujuh kes varian membimbangkan (VOC) Beta B.1.351 dan 24 kes VOC Delta B.1.617.2 dikesan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.