COVID: Hampir 80 Peratus Populasi Dewasa Lengkap Vaksinasi Setakat Isnin

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Seramai 18,648,795 individu atau 79.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut portal COVIDNOW.

Selain itu, 93.1 peratus atau 22,097,565 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 289,618 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 94,145 dos pertama dan 195,473 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 40,664,674 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, portal berkenaan memaklumkan terdapat pertambahan 301 kes maut akibat COVID-19 dilaporkan setakat 11.59 malam 20 Sept, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 23,744.

Jumlah itu merangkumi tujuh kematian sebenar harian COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam (20 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’, bagaimanapun angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, trend kematian pesakit COVID-19 menunjukkan penurunan selaras peningkatan jumlah populasi lengkap divaksin serta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.