Dewan Tertinggi BN Menjunjung Kasih Perkenan Agong, Tahniah Ismail Sabri PM Ke-9

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah DYMM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas titah perkenan melantik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9.

Setiausaha Agungnya, Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN merakamkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Ke-9.

“Semoga dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri akan memperkasakan tradisi BN membela rakyat dan memakmurkan negara.

“Dewan Tertinggi BN juga yakin dengan pengalaman beliau dan didukungi oleh parti yang mempunyai rekod perkhidmatan yang luas dan panjang, Dato’ Sri Ismail Sabri mampu untuk mendepani cabaran semasa bagi mengembalikan Citra Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif,” katanya dalam kenyataan media yang dikelurakan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Tertinggi BN menyeru semua pihak khususnya, seluruh kepimpinan BN di setiap peringkat untuk memberikan sokongan dan bersatu hati bagi memastikan BN akan dapat terus memberikan khidmat bakti yang terbaik buat rakyat.

“Mudah-mudahan dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri, akan membawa sinar kebaikan buat Malaysia dan rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/08/KM-DEWAN-TERTINGGI-BN-PELANTIKAN-YAB-PM-KE-9-1.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.