Johor Perkenal Program Vaksinasi Berbayar Menerusi JVIP Mulai Hari Ini

JOHOR BAHRU, 6 Ogos – Johor memperkenalkan program vaksinasi berbayar melalui Johor Vaksin-Immunisation Programme (JVIP) yang bertujuan mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri bermula hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata JVIP adalah inisiatif kerajaan negeri dalam menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

Beliau berkata objektif utama JVIP adalah untuk mempercepatkan perjalanan proses imuniti kelompok dengan meningkatkan pengambilan vaksin COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja industri.

“Sebagai permulaan sebanyak 20,000 dos vaksin jenis Sinovac akan dijual pada harga RM350 bagi dua dos lengkap,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Hospital KPJ Abdul Samad di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Datuk Dr Aman Rabu.

Menurutnya, program itu akan dilaksanakan sepenuhnya melalui ImmuPlan iaitu platform vaksinasi kerajaan negeri sedia ada yang melaksanakan semua jenis program dan inisiatif melibatkan pembekalan vaksin serta syarikat swasta.

“Sebagai fasa permulaan, program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Pharmaniaga Bhd melalui Seaview Healthtech Sdn Bhd sebagai pengedar vaksin (Sinovac), KPJ Healthcare Bhd sebagai penyedia pusat dan khidmat vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) dilantik sebagai peneraju dan pemudahcara proses vaksinasi pihak industri di negeri dan buat permulaan program itu hanya ditawarkan kepada barisan hadapan ekonomi sebelum diperluaskan sepenuhnya kepada orang awam.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri sedang menunggu keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pekerja Malaysia di Singapura yang sudah mendapat vaksin lengkap pulang tanpa perlu dikuarantin.

Beliau berkata apabila sudah dibenarkan nanti, pekerja Malaysia di Singapura yang mahu pulang hanya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Difahamkan, ketika ini kos kuarantin yang berjumlah RM10,000 seorang menjadi kekangan besar bagi pekerja Malaysia di sana untuk pulang sehingga menghalang mereka daripada pulang sejak lebih setahun lepas.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.