UMNO Tumpat Sokong Tindakan Pusat Dan Negeri, Bersama Pertahan Institusi Raja-Raja Melayu

TUMPAT, 4 Ogos – UMNO Bahagian Tumpat menyokong kenyataan Presiden dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan serta bersama mempertahan Institusi Raja-Raja Melayu.

Kata Ketuanya, Datuk Zulkifli Abdullah, UMNO Bahagian Tumpat menyatakan sokongan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu penarikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

“Hal ini kerana tindak-tanduk yang ditunjuk oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri tidak mencerminkan sebuah kerajaan yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Pendirian UMNO Bahagian Tumpat dalam menyokong kenyataan Datuk Presiden ini berdasarkan pada Perlembagaan UMNO (Fasal 3.2) di mana UMNO seharusnya menjadi sebuah parti yang mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh sebab itu tambahnya, polemik yang berlaku pada hari ini haruslah dihentikan segera dengan menarik sokongan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

“Kesetiaan kepada susuk tubuh seseorang tidak boleh melangkaui dan dibeli dengan kesetiaan kepada Raja-Raja dan parti.

“UMNO Bahagian Tumpat berdiri teguh dan mempertahankan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” tegasnya lagi.

Semalam, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Demikian tegas Ahmad Zahid dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, Selasa petang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.