Bon Samurai : Kerajaan PH ‘Cakap Tak Serupa Bikin’


KUALA LUMPUR, 7 NOV –  Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminjam sebanyak 200 bilion yen (RM7.4 bilion) daripada Jepun adalah satu tindakan yang berlawanan dengan prinsipnya untuk mengurangkan hutang negara.

Selain itu menurut Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, ia juga membuktikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga pemimpin-pemimpin PH yang lain ‘cakap tidak serupa bikin’ tentang hutang negara.

“Pada saya dia (bon samurai) berlawanan dengan prinsip PH untuk mengurangkan hutang. Sebab Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Dr Mahathir selalu sebut ekonomi kita berada dalam keadaan teruk sebab hutang yang banyak ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tapi saya melihat Bajet 2019 yang lalu ini, dia punya pendapatan RM261.82 bilion. Tapi bajet yang diumum ialah RM314.55 bilion. Bermakna lebih RM52.73 bilion adalah hutang. Ditambah lagi dengan bon samurai ini.

“Kata kerajaan PH nak kurangkan hutang, tapi mengapa tambah lagi?” katanya di sini, hari ini.

Tambah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu lagi, perkembangan tersebut juga membuktikan sebenarnya hutang negara tidaklah begitu serius seperti yang sering dimomokkan PH.

“Jadi pada ketika yang sama juga mereka kata nak mengurangkan hutang, tapi dalam mereka punya bajet juga menunjukkan khidmat hutang yang dibayar Cuma 10.5 peratus. Tahun lepas 11 peratus.

“Kalau mereka betul-betul nak membayar hutang, bayaran khidmat hutang itu perlu mungkin 15 peratus daripada keseluruhan bajet. Tapi dia 10.5 peratus pula,” katanya.

Tambah Ahmad, tuduhan demi tuduhan mengenai hutang negara sebenarnya hanyalah helah kerajaan PH untuk mengelakkan diri daripada kekurangan hasil yang sebenar akibat daripada pembatalan GST serta kegagalan mereka untuk memenuhi janji-janji manifesto.

“Sebenarnya mereka kurang pendapatan sebab batal GST. Mereka kurang RM23 bilion pendapatan tahun depan. Itu sebab mereka meneruskan hutang, itu sebab mereka mengurangkan bayaran khidmat hutang.

“Lantas mereka bantai kita (BN). Sebenarnya yang salah adalah mereka yang tidak melihat implikasi daripada pembatalan GST dan menyebabkan kekurangan pendapatan,” katanya. –bnpportal

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.