Wanita UMNO Desak PH Bertindak Sebagai Kerajaan, Tangani Peningkatan Kes Kematian Bayi dan Kanak-kanak


KUALA LUMPUR, 11 Julai – Wanita UMNO mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya mengambil tindakan segera bagi menangani peningkatan kes-kes kematian bayi dan kanak-kanak dipercayai akibat didera.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata KPWKM seharusnya fokus dalam menangani kes-kes sebegini.

“Kita tidak nampak sebarang tindakan jelas dan tegas diambil KPWKM dalam menangani kes-kes sebegini setakat ini walaupun sejak mereka menang pilihan raya beberapa kes sudah dilaporkan.

“Eloklah kerajaan memainkan peranan sebagai kerajaan sekarang, ambil inisiatif segera selesaikanlah segera kes-kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau rasa sedih apabila saban hari mendengar perkhabaran mengenai peningkatan kes-kes kematian bayi dan kanak-kanak dipercayai akibat didera.

“Masalah sosial seperti ini bukan sahaja membimbangkan kalangan ibu bapa malah masyarakat secara keseluruhan dan menjejas imej negara di mata negara luar,” katanya.

Terbaru adalah kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya di rumah mereka di Permatang Badak di Kuantan selepas kejadian mayat bayi 5 bulan dijumpai dalam peti sejuk rumah pengasuh di Taman Nakhoda, Batu Caves. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.