Jangan Sampai Rakyat Lihat Kerajaan PH Hari Ini Sebagai ‘Kaduk Naik Junjung’

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Dalam terkial-kial untuk memenuhi janji manifesto dalam 100 hari pemerintahannya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin menunjukkan belang sebenar dasar pentadirannya, termasuk mempertikai dan tidak mengiktiraf apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bidas Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Sehubungan itu, UMNO melahirkan rasa bimbang jika isu ini tidak ditangani segera dan untuk selamanya, ia dikhuatiri akan terus menyemarakkan api kemarahan dalam kalangan majoriti rakyat di negara ini yang sudah sedia berputik rasa tercabar sejak beberapa minggu ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin PH mempersoalkan Institusi Raja-Raja Melayu dengan menyiarkan perbelanjaan peribadi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan terkini, Kerajaan PH tidak lagi mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu apabila Kementerian Kewangan turut menggunakan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan, yang mana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Malah, dalam mempertahankan tindakan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi kenyataan yang hanya dikeluarkan dalam bahasa Mandarin, mendakwa penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan Kerajaan PH terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng dipetik berkata: Menurut Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Atas semangat Perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO menganggap tindakan angkuh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap jelas menunjukkan Kerajaan PH amnya dan Dap khususnya, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan amalan pentadbiran negara ini yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Tindakan Kementerian Kewangan yang diterajui Setiausaha Agung Dap itu juga menyerlah sikap sebenar parti itu terhadap institusi berkaitan Melayu, yang sebelum ini sering digambarkan sebagai anti Melayu dan Islam. Tindakan Kementerian Kewangan itu sesungguhnya sangat biadab, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan bahasa Melayu.

“Kerajaan PH seharusnya lebih peka, sensitif dan berhati-hati dalam perkara seumpama ini. Jangan sampai kerajaan hari ini dilihat oleh rakyat sebagai ‘kaduk naik junjung’. Baru sahaja mendapat kuasa, tindakan dan amalannya sudah jauh melampau serta keterlaluan sehingga tidak menghormati perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Negara.

“Sebagai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan PH perlu menjadi contoh dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan negara.

“Apa istimewanya bahasa Mandarin sehingga ia turut digunakan untuk kenyataan rasmi kerajaan? Bagaimana pula dengan bahasa-bahasa lain di negara ini seperti India, Sikh, Iban, Jawa, Kadazan dan sebagainya? Sepatutnya, sebagai rakyat yang dilahirkan negara ini, khususnya selepas era kemerdekaan, mereka pastinya mahir dan berbangga menggunakan bahasa Kebangsaan.”

Tegasnya, alasan kita kini telah berada dalam era globalisasi juga tidak mewajarkan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi sesebuah kementerian, kerana kita selama ini telah turut menggunakan bahasa Inggeris, terutama untuk kenyataan yang ada berkaitan dengan komuniti global.

“Penggunaan bahasa Mandarin untuk kenyataan rasmi kerajaan termasuk kenyataan media bukan hanya seolah-olah mencabar mereka yang mendukung bahasa rasmi Persekutuan, tetapi juga merosakkan usaha menyatupadukan rakyat dan memupuk perpaduan negara melalui bahasa.”

Dalam hal ini, katanya, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan menyebut bahawa ‘Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi’ yang bermakna Bahasa Malaysia (atau Bahasa Melayu dalam Perlembagaan) perlu digunapakai dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk untuk kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.

“Penggunaan bahasa Malaysia juga selari dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan Bahasa Kebangsaan.

“Justeru, sebelum penggunaan bahasa Mandarin ini terus berleluasa terutama sehingga merebak ke lebih banyak kementerian, UMNO meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bertindak segera dengan mengeluarkan arahan supaya menghentikan pengunaan bahasa lain, selain bahasa Malaysia untuk kenyataan rasmi kerajaan dan bahasa Inggeris boleh digunakan, sekiranya keadaan memerlukan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.