“Saya Sudah Bersumpah, Tidak Perlu Layan Cabaran Khairuddin” – Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri  Dr Zahid Hamidi berkata, beliau tidak akan melayan cabaran Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk melakukan sumpah laknat berhubung isu kenyataan beliau yang mendakwa, bahawa Dato Khairuddinlah merupakan individu yang bertanggungjawab mengatur pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Zahid, sebagai orang Islam, lafaz sumpah yang beliau ucapkan berhubung perkara itu sudah cukup sebagai bukti bahawa beliau tidak berbohong dalam isu ini.

“Saya tidak perlu untuk melayan beliau dan merendahkan imej dan tahap saya serendah beliau. Apabila saya sudah melafazkan sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, itu ada sumpah muktamad atas nama Allah sebagai orang Islam yang beriman dari segi sumpahnya.

“Bukanlah bermaksud taraf atau makam saya tinggi sangat, tapi rasanya tidak perlulah saya mahu melayan atau menyahut  cabaran dari orang seperti itu. Lagipun, perkara ini bukannya tidak diketahui oleh orang lain bahkan ada orang lain yang tahu dan menjadi saksi akan kebenaran kata-kata saya itu,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sebelum ini, Zahid telah menjelaskan kepada perwakilan dan ahli UMNO di dalam beberapa pertemuan di seluruh negara, bahawa dakwaan beliau merangkak berjumpa Tun Mahathir untuk meminta nasihat bagaimana untuk menguruskan UMNO adalah tidak benar.

Sebaliknya kata Zahid, Tun Mahathir terlebih dulu telah menghantar wakilnya sebanyak dua kali bertemu dengannya  bagi menyatakan hasrat Perdana Menteri untuk meminta beliau datang berjumpa dengannya.

“Saya pun bukannya meminta nasihat bagaimana untuk menguruskan UMNO tetapi sebaliknya dalam pertemuan itu, Tun Mahathir meminta saya untuk membawa masuk UMNO menyertai Bersatu di mana saya secara tegas menolak permintaan Tun itu.

“Mana mungkin saya bersetuju  mahu membubarkan UMNO untuk menyertai  PPBM dan saya tegaskan kepada beliau, biarlah UMNO terus kekal sebagai parti yang membela nasib orang Melayu selama ini. Lagipun berdasarkan kerusi yang kita ada, UMNO adalah ibarat ular sawa dan PPBM pula ibarat ular lidi.Takkanlah ular lidi pula yang mahu menelan ular sawa?,” tegasnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.