Perlu Mandat MT UMNO Wujudkan Gabungan Parti Baru Ganti BN – Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Naib Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan akan wujud gabungan parti baru yang sama seperti Barisan Nasional, ekoran perkembangan beberapa parti politik yang mengambil keputusan untuk keluar daripada naungan BN.

Bagaimanapun menurut Zahid, perkara itu terlebih dulu perlu mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi UMNO sebelum ia dilaksanakan.

“Tetapi sebelum itu, kita kena mendapatkan mandat daripada Majlis Tertinggi UMNO, termasuk di peringkat bahagian supaya kita lihat semula sama ada soal persamaan dan juga pencantuman berbagai parti politik yang baru dapat dibentuk, dan juga  sama ada nama baru akan akan diberikan untuk gabungan ini.

“Setiap parti boleh kekal dengan identiti parti masing-masing  namun gabungan parti politik yang  serupa dengan BN perlu ditubuhkan agar semua parti daripada pelbagai kaum dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk kerajaan,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, UMNO menerima hakikat bahawa perjuangan untuk membentuk sebuah kerajaan tidak boleh hanya berasaskan kepada dasar perkauman.

“UMNO perlu bekerjasama dengan parti-parti lain sekiranya mahu membentuk sebuah kerajaan. Ini bermaksud, matlamat dan perjuangan parti mestilah disatukan dalam satu matlamat supaya nasib semua kaum,  agama dan latar belakang di negara ini dapat diambil kira,” ujarnya.

Terbaru, parti Gerakan hari ini mengumumkan keluar daripada gabungan BN ekoran kekalahan di dalam PRU ke 14 baru-baru ini. Bagaimanapun, tindakan parti tidak menjejaskan ekoran Gerakan tidak mendapat sebarang kerusi di dalam PRU ke 14 yang lalu.

Namun kata Zahid, buat masa ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada parti tersebut berhubung pengumumannya keluar daripada gabungan BN.

“Kita akan meneliti keputusan yang dibuat oleh parti Gerakan itu dan saya akan meminta setiausaha Agung BN, Datuk Seri Abu Kamis dan setiausaha kerja BN untuk menghubungi mereka bagi mengesahkan perkara tersebut memandangkan kita masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubungan penarikan diri parti tersebut daripada gabungan BN,” katanya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.