Keputusan Pemilihan Sayap UMNO Selewat-Lewatnya 12 Malam – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Keputusan pemilihan ketua dan barisan Exco sayap UMNO yang diadakan serentak seluruh negara hari ini dijangka akan diketahui selewat-lewatnya pada pukul 12 malam nanti.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata walau bagaimanapun keputusan berkenaan bergantung kepada mesyuarat terakhir bahagian yang masih berjalan dan belum selesai sepenuhnya.

“Laporan semasa keputusan kita masih menunggu dan kenalpasti. Kita baru terima lebih kurang 35 peratus namun masih ada bahagian yang masih menjalankan mesyuarat yang bermula lewat.

“Kita tunggu sehingga kesahihannya disahkan oleh ibu pejabat. Saya berada di sini sehingga keputusan rasmi keluar. Mohon bersabar. Sidang media seterusnya pukul 12 malam dan bergantung kepada mesyuarat terakhir yang sedang berjalan di beberapa bahagian.

“Kalau dua tiga bahagian tidak mempengaruhi  keputusan majoriti saya akan umumkan. Jika masih lagi dalam satu hingga dua perbezaan undi,  saya kena tunggulah sehingga keputusan akhir akan diterima,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ab Rauf seterusnya menegaskan persidangan pergerakan sayap di seluruh negara berjalan lancar.

“Setakat ini mesyuarat yang bermula pagi tadi sehingga jam 6 petang tadi  berjalan lancar serta tidak ada perkara-perkara yang tidak diingi atau tidak mengadakan mesyuarat. Masing-masing masih mengadakan persidangan dengan  semangat yang  begitu tinggi

“Kita ada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemilihan di semua peringkat. Kalau didapati ada keraguan bolehlah merujuk kepada AJK pemilihan di peringkat bahagian masing-masing sebelum dirujuk kepada ibu pejabat.

“Memandangkan pada waktu ini pemilihan diadakan serentak di seluruh negara, ibu pejabat belum lagi menerima laporan-laporan yang terakhir tentang kejadian yang berlaku di peringkat bahagian dan hanya akan diteliti setelah mendapat semua laporan.  Walau bagaimana pun ianya tidak menganggu keputusan pemilihan diperingkat bahagian,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau turut memaklumkan seramai 74 Ketua UMNO bahagian  telah menang tanpa bertanding.

“Selain itu Timbalan Ketua UMNO bahagian seramai 66 orang, Naib Ketua Bahagian seramai 46 orang, Ketua Wanita UMNO bahagian seramai 108 manakala  Ketua Pemuda UMNO seramai  85 orang dan Ketua Puteri seramai 126,” katanya.

Persidangan Pergerakan sayap UMNO iaitu, Wanita, Pemuda dan Puteri bermula hari ini yang berlangsung serentak dengan pemilihannya di seluruh negara.

Tiga calon akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita iaitu Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Azizah Mohd Dun.

Seramai empat calon pula akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita, 81 calon bertanding jawatan anggota jawatankuasa, selain dua bagi jawatan pengerusi tetap dan empat bagi jawatan timbalan pengerusi tetap sayap itu.

Bagi Pergerakan Pemuda pula, seramai sembilan individu disenaraikan bertanding merebut jawatan itu termasuk Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki, Ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jawatan Ketua Pergerakan Puteri pula menyaksikan persaingan di antara Naib Ketua Puteri Datuk Zahida Zarik Khan dan exco Puteri Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Seramai lima calon lain akan merebut jawatan naib ketua, 71 calon akan bertanding sebagai anggota jawatankuasa dan dua calon untuk jawatan pengerusi tetap. -MediaUMNO

Senarai Nama Ketua Wanita Bahagian Menang Tanpa Bertanding

[gview file=”http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2018/06/Statistik-MTB_Ketua-Wanita-Bahagian.pdf”]

Senarai Nama Ketua Pemuda Bahagian Menang Tanpa Bertanding

[gview file=”http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2018/06/Statistik-MTB_Ketua-Pemuda-Bahagian.pdf”]

Senarai Nama Ketua Puteri Bahagian Menang Tanpa Bertanding

[gview file=”http://www.umno-online.my/wp-content/uploads/2018/06/Statistik-MTB_Ketua-Puteri-Bahagian.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.