Debat Antara Calon Presiden Tidak Perlu Dilakukan – Mohamad

SEREMBAN, 22 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersetuju debat antara calon diadakan dalam pemilihan parti kali ini kerana ia akan mendedahkan pelbagai isu dalaman kepada umum.

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden UMNO berkata pemilihan kali ini disifatkan sebagai pertandingan antara keluarga yang seharusnya dijalankan secara baik.

Seremban, 22 Jun–Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan Naib Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sambutan Aidilfitri dan Sesi Pengenalan Calon – calon Pemilihan UMNO 2018 – 2021 anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di D’ Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan di sini hari ini. Turut kelihatan Tan Sri Annuar Musa yang juga merupakan calon Timbalan Presiden UMNO. – Foto : MediaUMNO

“Tidak perlu debat, kalau dalam rumah tangga pun kita kena pakat elok-elok kerana kita bertanding sesama sendiri.

“Kalau calon ada strategi kukuh tak perlu beritahu orang lain (melalui debat). Ini penting supaya strategi dan langkah UMNO tidak dibaca orang lain,” katanya selepas Majlis Sambutan Aidilfitri dan Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2018 di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, calon Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa calon Naib Presiden.

Dua calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin sebelum ini telah bersetuju untuk berdebat pada 29 Jun ini.

Sementara itu, Mohamad turut menegaskan agar tidak berlaku situasi memburukkan calon lain semata-mata untuk memperoleh kemenangan.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.