Semarakkan Perpaduan Menerusi Hari Raya – MB Pahang

KUANTAN, 13 Jun – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini, menggesa rakyat memanfaatkan sambutan Aidilfitri untuk terus menyemarakkan semangat perpaduan di negeri ini.

Katanya, antara yang boleh dilakukan adalah dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung yang dapat merapatkan silaturahim bukan hanya dalam kalangan saudara-mara, tetapi juga masyarakat berbilang kaum.

“Salah satu punca utama berlangsungnya kestabilan politik dan keutuhan ekonomi negara selama ini adalah kerana wujudnya semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan kita.

“Semangat seperti ini hendaklah terus dijelmakan dalam kehidupan seharian termasuklah semasa menyambut perayaan,” katanya dalam ucapan Hari Raya pertama beliau sebagai menteri besar yang diedarkan kepada media di sini, hari ini.

Wan Rosdy seterusnya menjemput rakyat Pahang untuk memeriahkan rumah terbuka Menteri Besar Pahang pada Hari Raya pertama di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, bermula pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari.

Selain itu, beliau juga menasihatkan rakyat untuk berbelanja mengikut kemampuan atau ‘mengukur baju di badan sendiri’ dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri.

Katanya, tindakan berbelanja seperti itu bukan sahaja bertujuan memeriahkan Hari Raya, tetapi secara tidak langsung rakyat dapat membantu merancakkan semula ekonomi negara.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha dengan apa juga sumbangan yang boleh diberikan untuk memastikan ekonomi negeri dan juga negara kembali sihat,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menambah usaha itu termasuklah menjalin hubungan erat dengan kerajaan persekutuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat Pahang terus terjaga.

Pada perutusan itu, beliau turut berterima kasih kepada semua anggota keselamatan dan pihak terlibat yang bertugas pada sambutan Aidilfitri tahun ini untuk memastikan rakyat dapat berhari raya dengan selesa dan aman.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.