UMNO Tak Kecil Hati, Terima Terbuka Keputusan Komponen Sarawak Tinggalkan BN – Khairy

KUALA LUMPUR, 12 Jun – UMNO dan komponen parti Barisan Nasional (BN) di seluruh negara diseru untuk sama-sama menerima, dan bukan berkecil hati dengan keputusan anggota BN di Sarawak.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata beliau menyambut keputusan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk meninggalkan BN dengan hati yang terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada gagasan baharu yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Walaupun keputusan itu bermakna BN Sarawak yang telah dibina selama lebih setengah abad ini telah berakhir, saya memahami kenapa rakan-rakan kita di Sarawak terpaksa mengambil keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO, keputusan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) untuk keluar dari BN juga memberi impak yang besar dalam kita merangka struktur dan rupa bentuk baharu UMNO dan hubungan kita dengan rakan komponen BN di Semenanjung dan Sabah.

“Saya berharap, perbincangan ini akan dibuat berlandaskan senario baharu politik Malaysia di mana kita sedia bekerjasama dengan rakan-rakan di Sarawak walaupun jika mereka tidak kembali menyertai BN secara rasmi di masa hadapan.”

Tegasnya, hari ini melambangkan permulaan hubungan politik baharu di antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak dan ia mesti dibina atas pemahaman dan penghayatan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 yang perlu kita terus hormati untuk kebaikan rakyat Malaysia khususnya di Sarawak dan Sabah.

Terdahulu, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak memaklumkan bahawa komponen BN Sarawak berbuat demikian sebulat suara pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, hari ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.