19 Lagi Adun Sabah Angkat Sumpah Hari Ini

KOTA KINABALU, 12 Jun – Seramai 19 daripada 21 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tidak menghadiri persidangan khas DUN semalam, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Datuk Syed Abbas Syed Ali, hari ini.

Kesemua mereka iaitu sembilan daripada UMNO; enam daripada Parti Bersatu Sabah); dua wakil Parti Solidariti Tanah Airku serta masing-masing seorang daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah dan UPKO mengangkat sumpah di Pejabat Speaker DUN, di sini.

Antara yang hadir mengangkat sumpah jawatan pada hari ini ialah Datuk Hajiji Mohd Noor (Sulaman); Datuk Masidi Manjun (Karanaan); Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut); Datuk Jahid Jahim (Tamparuli) ; Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu); dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan).

Baki dua lagi wakil rakyat yang belum mengangkat sumpah ialah daripada UMNO iaitu Tan Sri Musa Aman selaku ADUN Sungai Sibuga serta Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Nizam difahamkan sedang menunaikan ibadah umrah, sementara Musa pula dilaporkan oleh peguamnya sedang mendapatkan rawatan perubatan di lokasi yang tidak didedahkan.

Sementara itu, Hajiji ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata mereka akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Semalam, seramai 43 ADUN termasuk empat ADUN dilantik mengangkat sumpah jawatan pada persidangan khas DUN yang juga merupakan sidang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Upacara angkat sumpah tersebut didahului oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diikuti tiga Timbalannya iaitu Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Christina Liew; dan Datuk Jaujan Sambakong.

Turut berlangsung pada persidangan khas itu ialah pembentangan usul undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai ketua menteri oleh Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.