Pertikai Institusi Raja-Raja Melayu : PEMANTAU Buat Laporan Polis Terhadap Kadir Jasin

SUNGAI BULOH, 29 Mei – Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Pakatan Harapan, Datuk A. Kadir Jasin berhubung kenyataan beliau mahu mengkaji semula kedudukan  institusi Raja-Raja yang dianggap berbaur hasutan untuk menjatuhkan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.

Menurut Lokman, kenyataan seperti ini dianggap amat merbahaya kerana ia boleh mencetuskan kegelisahan dan rasa tidak selesa di kalangan rakyat khususnya orang-orang Melayu di negara ini.

“Kenyataan beliau juga jelas mempersoalkan kedudukan institusi dan kedaulatan Raja-Raja Melayu sedangkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu ini dijamin oleh perlembagaan negara. Dan tindakan beliau mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu adalah seumpama beliau mempersoalkan perlembagaan negara.

“Kenyataan beliau itu boleh dianggap sebagai satu hasutan dan juga penghinaan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan kita berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sepatutnya terhadap beliau yang jelas telah melanggar akta undang-undang hasutan di negara ini,” ujarnya dalam satu sidang akhbar setelah selesai membuat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak PDRM menjalankan siasatan segera terhadap Datuk A. Kadir Jasin yang secara jelas telah melanggar undang-undang berdasarkan akta hasutan di negara ini.

“Kenyataan beliau itu lebih kepada mahu mencemarkan dan merendah-rendahkan institusi dan kedudukan Raja-Raja Melayu di mata rakyat di mana saya yakin kenyataan beliau itu boleh mengganggu gugat institusi dan kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan polis ini untuk meminta agar pihak PDRM dapat menjalankan siasatan terhadap beliau berhubung kenyataannya yang mahu mengkaji semula kedudukan majlis Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut melancarkan perasmian penubuhan NGO PEMANTAU Malaysia Baru yang dianggotai oleh beberapa NGO-NGO di restoran RZ Nasi Kukus di Bandar Puncak Alam, Selangor hari ini.

Menurut beliau, di atas permintaan ramai, beliau selaku Presiden Suara Generasi Terbilang dan Datuk Azwanddin Hamzah, Presiden Jaringan Melayu Malaysia telah sepakat untuk menubuhkan Pemantau Malaysia Baru yang terdiri daripada NGO-NGO atau individu yang secara sukarela ingin bersama dalam perjuangan ini.

“Pemantau Malaysia Baru akan bertindak memantau Kerajaan Pakatan Harapan terutamanya dalam memastikan mereka menunaikan janji-janji yang telah mereka keluarkan sebelum PRU14.

“Sehubungan dengan itu, mana-mana NGO atau individu yang berminat untuk bersama kami, sila whatapp Nama Penuh atau Nama Pertubuhan, No HP atau No Contact Person, No K/P, Alamat dan hantar ke 0135068893 Hamdan Mohd Salleh.

“Saya berharap agar dengan penubuhan Pemantau Malaysia Baru ini kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi boleh bertindak sesuka hati dan sentiasa mentadbir dengan adil, saksama dan sentiasa mengutamakan rakyat, serta melaksanakan segala janji-janji mereka melalui manifesto yang dibentangkan sebelum ini,” jelasnya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.