Beri Keutamaan Kepada Kebajikan Rakyat – Tengku Abdullah

ROMPIN, 26 Mei — Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu kerajaan memberikan keutamaan kepada kebajikan rakyat, termasuk dalam isu berkaitan perumahan.

Baginda bertitah aspek perumahan khususnya yang melibatkan rumah mampu milik penting untuk membantu mereka yang baharu hendak memulakan kehidupan.

“Pihak kerajaan juga perlu memperhalusi masalah berkenaan bekalan air dan elektrik di seluruh kawasan. Saya amat mementingkan hal-hal seperti ini kerana ia membabitkan kebajikan rakyat,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Kampung Leban Chondong di sini malam tadi, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Turut hadir Anggota Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Ariffin, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain, ADUN Muadzam Shah Razali Kassim dan ADUN Bukit Ibam, Datuk Shamsiah Arshad.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 120 rakyat yang kurang berkemampuan dan kanak-kanak.

Tengku Abdullah juga mengingatkan rakyat untuk sentiasa bersyukur dapat berada dalam sebuah negara yang harnomi sehingga membolehkan mereka beribadah dalam suasana yang aman.

Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam dapat mengambil kesempatan untuk mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini dan memperbanyakkan amalan sunat seperti membaca al-Quran khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan.

“Saya juga berharap semua pihak tidak akan melupakan kewajipan ungtuk membayar zakat dan semoga semua amal jariah yang dilakukan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat,” titah baginda.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.