UMNO Perlu Revolusi Parti, Pemuda UMNO Terbuka Untuk Perbincangan, Cadangan – Khairul Azwan


KUALA LUMPUR, 25 Mei – UMNO memerlukan sebuah pembaharuan dan pemulihan besar-besaran dari semua aspek termasuk pemikiran, pendekatan dan gerak kerja lantaran sekian lama terlalu ‘syok sendiri’ beranggapan bahawa rakyat akan sentiasa menyokong UMNO, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun.

“Masanya telah tiba. Kami membuka pintu seluas-luasnya untuk sebarang perbincangan dan di Pemuda UMNO, kita mencari pemegang obor perjuangan yang mempunyai misi, visi dan idealisme mampan. Kita mencari pemimpin parti yang segar dan berani untuk menjayakan revolusi parti.”

Katanya, jika UMNO benar-benar ingin mendapatkan kembali mandat pemerintahan pada PRU-15 akan datang, maka wajib menjadi relevan kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan setakat ahli UMNO sahaja.

“Pemimpin yang kini berada di barisan hadapan bukan sahaja diterima oleh ahli UMNO tetapi perlu juga diterima rakyat.

“Kita harus keluar dari kepompong khayalan yang ada sekarang. Pemimpin harus mengemudi bahtera dengan berani, bukan dengan ketakutan menghadapi ancaman daripada parti sendiri.

“Pemimpin UMNO mesti mempunyai visi untuk memastikan ahli UMNO bekerja lebih keras sepanjang lima tahun yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ujarnya, UMNO tidak lagi boleh menjadi tempat untuk parasit mengaut keuntungan dan mengeksploitasi pengaruh dan kedudukan sewenang-wenangnya.

“Ahli UMNO mesti sedar perjuangan ini memerlukan keringat dan kesetiaan kepada parti dan perjuangan, bukan demi kepentingan diri. Mungkin kini adalah masa untuk kita memperkenalkan sistem undian daripada akar umbi agar setiap ahli boleh memilih Presiden dan jawatan-jawatan tertinggi dalam parti.

“Sudah pasti di saat bahtera UMNO dilanda badai, banyak ahli parti yang memilih untuk meninggalkan bahtera perjuangan ini. Tidak mengapa, biarkan mereka. UMNO kini memerlukan tenaga, sokongan dan sumbangan yang tidak berbelah bahagi daripada mereka yang berpegang teguh kepada roh perjuangan keramat untuk menerajui tampuk kepimpinan negara,” tegasnya.

Jelas beliau, UMNO telah melalui pelbagai bentuk perjalanan dan menempuh persimpangan yang berliku dan setelah memegang tampuk pemerintahan selama 61 tahun, barisan kepimpinan sekarang terpaksa mengolah, menukar, mengubah dan menghidupkan semula roh parti keramat ini.

“Apa sebenarnya telah terjadi? Di manakah salah kita?

“Sudah terang lagi bersuluh, UMNO sebenarnya yang perlu akur dengan kehendak rakyat.”

Katanya, proses regenerasi pemimpin UMNO tidak sepatutnya berlaku hanya selepas kekalahan pilihan raya sahaja kerana mungkin sudah tiba masanya kita meletakkan had maksimum kepada tempoh bagi semua jawatan parti di peringkat nasional, dari Presiden sehingga ke Ketua Pemuda.

“Perkara ini bagi memastikan kepimpinan parti sentiasa segar dan boleh membawa idea-idea baru kepada parti untuk terus mengukir sejarah.

“Sejajar dengan itu, sistem birokrasi yang lapuk untuk pendaftaran ahli UMNO harus dilupuskan. Terlalu ramai bakat-bakat baru dan golongan berpotensi bertukar arah hanya kerana budaya cantas-mencantas yang menular dalam kalangan ahli sendiri di peringkat cawangan mahupun bahagian.”

Katanya, semestinya terdapat banyak lagi cadangan serta idea yang boleh diketengahkan demi kebaikan parti, beliau terbuka dan gembira sekiranya lebih banyak cadangan ke arah penambahbaikkan parti dapat dibincangkan.

“Bahkan, hal seperti ini wajar diberikan perhatian serius dalam usaha kita untuk menjalankan revolusi parti.

“Saya percaya kita mampu memberi persaingan yang sihat kepada Pakatan Harapan. Tetapi, saat ini merupakan saat yang genting buat UMNO. Keputusan perlu dibuat tentang definisi dan DNA perjuangan kita yang baru,” ujarnya lagi . – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.