Rakyat Dah Beri Mandat, Kerajaan PH Masih Beretorik Tak Tunaikan Janji

TANJUNG MALIM, 23 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib membidas tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih belum mampu menunaikan janji-janji mereka dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Khusairi turut menggesa agar pemimpin PH jangan lagi berselindung dengan memberi pelbagai kenyataan berbentuk retorik serta alasan yang berbelit-belit kerana rakyat telahpun memberi mereka mandat.

“Banyak sidang akhbar dan wawancara dengan pemimpin-pemimpin PH di TV (televisyen), daripada PM (perdana menteri), menteri sehinggalah ke pemimpin-pemimpin muda mereka.

“Bila ditanya pasal janji dalam manifesto PH, masing-masing tak dapat beri jawapan tepat pasal penghapusan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), menurunkan harga petrol, penurunan harga barang, caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk surirumah apatah lagi nak sentuh pasal janji mereka mahu menghapuskan hutang peneroka Felda.

“Lihatlah apa yang mereka jawab, berbelit-belit, beretorik, lidah dah berbau dan mula nampak cabang. Isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) terus ditonjolkan, siasatan terhadap mantan perdana menteri terus dijadikan bahan berita utama semata-mata mahu mengaburi mata rakyat dan pengundi terhadap janji-janji PH sebelum PRU14,” jelas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu dalam entri di laman facebooknya.

Tambahnya, adalah sesuatu yang melucukan apabila pemotongan 10 peratus gaji jemaah menteri seolah-olah boleh mengatasi masalah kewangan negara.

“Berapa agaknya jumlah potongan 10% tu? Bertuturlah dengan lidah yang fasih wahai pemimpin-pemimpin PH,” ujarnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.