Penghapusan Tol, Siapa Untung, Siapa rugi? “Akibat Terlanjur Menabur Janji”

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Berikut adalah penerangan dari bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) Lokman Adam berkaitan janji-janji dari Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) khususnya berkaitan penghapusan tol:

Salah satu janji dalam Manifesto Pakatan Harapan yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan terutamanya dikawasan bandar adalah janji untuk menghapuskan Tol 100%.

Namun, persoalan yang ingin saya bangkitkan adalah soal berbaloikah dana rakyat dibelanjakan untuk menghapuskan tol? Adakah ianya akan menguntungkan rakyat bawahan?

Jawapannya sudah pasti tidak. Untuk membina lebuh raya utara selatan umpamanya, kerajaan tidak memberikan PLUS sebarang bantuan kewangan. PLUS hanya dianugerahkan konsesi untuk membina lebuh raya tersebut. Maka bagi mendapatkan dana, PLUS perlu menerbitkan bon.

Bila bon dibeli, si pembeli sudah pasti mengharapkan pulangan dari dana yang mereka laburkan. Jika bon yang diterbitkan bernilai 10 billion umpamanya, maka jumlah keuntungan yang perlu dibayar kepada pembeli bon tersebut sudah pasti bukan sedikit jumlahnya. Maka ini akan melibatkan kos kewangan.

Begitu juga apabila sesudah lebuh raya itu siap, PLUS perlu mengaji juru tol, penyelenggara r&r dan plus ronda yang menjaga keselamatan. Mereka ini pula perlu dipantau oleh penyelia serta pengurus, ini akan melibatkan kos operasi.

Begitu juga bila lebuhraya sudah siap, adakah dalam tempoh 10-20 tahun lebuhraya itu tidak akan rosak? Maka, ini akan melibatkan kos penyelenggaraan.

Maknanya, jika kita nak hapuskan tol yang contohnya bernilai 10 billion, kita perlu membayar pampasan yang lebih tinggi dari jumlah tersebut kerana PLUS perlu menampung kos pengurusan, kewangan dan penyelenggaraan. Itu belum kira keuntungan yang akan diambil oleh Plus sebagai pemegang konsesi.

Bagi menunaikan janji menghapuskan tol 100% di negara ini, lebih kurang RM53 billion wang rakyat perlu dibelanjakan untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi.

Adalah sangat tidak bijak jika kerajaan Pakatan Harapan membelanjakan duit rakyat sebanyak itu dengan menghapuskan tol, sedangkan ianya hanya akan dinikmati oleh warga kota dan mereka yang tinggal dibandar-bandar utama.

Rakyat di Baling, di Pengkalan Kubur, di Kuala Lipis dan banyak kawasan lain tidak akan merasa nikmat dari penghapusan tol tersebut walaupun mereka juga menyumbang kepada kutipan cukai. Malah rakyat Sabah tidak pernah nampak pondok tol di Sabah.

Itu sebabnya sebelum ini, Kerajaan Barisan Nasional memilih untuk mengagihkan kek kekayaan ekonomi negara dalam bentuk subsidi bersasar yang lebih menguntungkan golongan B40, berbanding membelanjakan dana yang lebih besar saiznya dari peruntukkan RM46 billion belanja pembangunan negara untuk menghapuskan tol.

Bantuan bersasar kepada B40 seperti BR1M umpamanya, bila kita belanjakan RM6.3 billion tahun 2017, ianya dinikmati oleh 7.2 juta keluarga yang mempunyai pendapatan isirumah bawah RM4000. Mereka ini ada dimana-mana, di bandar, di kampung, di Kuala Lumpur, Johor Baharu, Gua Musang, malah di dalam hutan juga ada. Jangan lupa, orang-orang asli juga menerima BR1M.

Selain daripada itu, kerajaan Pakatan Harapan harus sedar, orang miskin kebanyakkannya hanya menunggang motosikal. Motosikal tidak perlu membayar tol, pengguna pengangkutan awam juga membayar tol yang sangat rendah berbanding kereta biasa. Kadar tol yang dibayar oleh Bas dan Teksi adalah rendah berbanding kenderaan persendirian.

Akan tetapi, penyumbang sebenar kutipan tol adalah lori dan trailer yang mengangkut barang dari Perlis ke Kuala Lumpur dan kemudiannya ke Johor Baharu. Kerana mereka ini bukan sekadar perlu membayar kadar yang lebih tinggi, namun perjalanan yang mereka lakukan adalah pada jarak yang jauh berbanding dengan warga kota yang menyumbang kepada kutipan tol dengan jumlah yang kecil kerana membayar tol untuk berulang-alik ke tempat kerja sahaja.

Persoalannya, adakah pemandu-pemandu lori dan pemandu-pemandu trailer tersebut yang menanggung yuran Tol? Sudah tentu tidak. Yang menanggung yuran tol tersebut ialah saudagar-saudagar syarikat pengangkutan.

Wajarkah kita hapuskan tol dengan menggunakan dana rakyat yang sebegitu banyak, hanya untuk mengayakan lagi golongan T20 ini?

Itulah bezanya polisi Ekonomi Dato’ Sri Najib Razak berbanding dengan polisi ekonomi Tun Mahathir. Zaman Dato’ Sri Najib, beliau memegang kepada prinsip, tanggungjawab menyediakan jalan raya dan prasarana adalah tanggungjawab kerajaan. Kalau terpaksa berhutang sekalipun, beliau akan berhutang demi memastikan kos menyediakan jalanraya dan prasarana kepada rakyat tidak dipindahkan bebannya ke bahu rakyat dengan mewujudkan tol.

Itu sebabnya zaman Dato’ Sri Najib, lebuhraya Dari Kuala Krai Ke Kuala Lipis, tiada tol. Lebuhraya Pan Borneo juga jika siap tidak akan ada tol. Tiada konsesi diberikan kepada kroni dengan syarat yang berat sebelah sehingga membebankan rakyat dalam menyiapkan MRT.

Maka rakyat tidak perlu bimbang, kadar tol atau kadar tambang MRT akan naik sekiranya volume trafik tidak mencukupi dalam tempoh tertentu.

Berbeza dengan polisi Tun Mahathir, beliau berjaya mengelakkan pinjaman bagi membina lebuhraya utara selatan dan ERL. Namun apabila kroni diberikan konsesi dengan perjanjian yang berat sebelah. Rakyat penyudahnya yang menjadi mangsa untuk mengayakan pemegang konsesi kesayangan.

Akhirnya, Tun sendiri yang pening kepala memikirkan bagaimana hendak memenuhi janji menghapuskan tol yang beliau sendiri perkenalkan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.