Abang Johari Pertahan Cadangan Projek LRT

KUCHING, 14 Mei – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mempertahankan rancangan beliau melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) bagi Bandaraya Kuching.

“Banyak pengkritik yakin saya melakukan kesilapan sekiranya membina LRT bagi Bandaraya Kuching.

“Saya akan tunjuk kepada anda bahawa saya betul kerana saya memikirkan tentang masa depan Kuching dan mereka silap kerana mereka berpendapat Kuching tidak ada masa depan,” Kata Abang Johari dalam ucapan alu-aluan dan perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini hari ini.

DAP Sarawak diketuai pengerusinya Chong Chieng Jen telah beberapa kali mengkritik rancangan itu dengan memberi alasan tiada keperluan mendesak bagi Kuching mewujudkan kemudahan berkenaan.

Anggota Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii pula menggesa agar projek dirancangkan itu dilaksanakan dengan penuh kebertanggungjawaban dari segi daya maju ekonomi.

Yii berkata kerajaan negeri di bawah kepimpinan Abang Johari perlu memberi jawapan kepada beberapa persoalan berbangkit tentang perojek itu.

Menurut Abang Johari, penduduk Kuching bertambah daripada 150,000 orang pada 1960 kepada 315,000 (pada 1980), 510,000 (pada 2000), 685,000 (pada 2017) dan akan terus meningkat.

Menurutnya, jumlah semasa penduduk di kawasan diliputi laluan LRT dicadangkan itu ialah hampir satu juta orang.

Sistem LRT berkenaan, yang akan turut meliputi Bahagian Samarahan dan Serian, dijangka mula dibina tahun depan dan akan memulakan perkhidmatannya menjelang 2024.