Proses Peralihan Kuasa Aman, Bukti Demokrasi Terus Terpelihara

PUTRAJAYA, 11 Mei – Proses peralihan kerajaan secara aman dan teratur dengan tertubuhnya kerajaan baharu yang mendapat mandat rakyat, diterajui Pakatan Harapan (PH) menyaksikan amalan demokrasi matang terus subur dan terpelihara di negara ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata SPR sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan telus, adil dan saksama dalam mengendalikan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, sebagaimana diamanahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Keputusan rasmi PRU-14 juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, SPR tetap berpegang sebagai sebuah badan bebas yang berkecuali dalam memastikan amalan demokrasi kekal terpelihara.

Beliau berkata jumlah peratusan pemilih yang keluar mengundi pada PRU14 lalu adalah 82.32 peratus (12,299,514 orang) daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar sebanyak 14,940,624 orang.

“SPR dengan ini merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik bagi memimpin dan mentadbir kerajaan Persekutuan.

“SPR juga mengucapkan tahniah kepada semua kerajaan Negeri yang telah menerima mandat rakyat untuk memerintah dan mentadbir negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya petugas pilihan raya, Polis Diraja Malaysia, jabatan dan agensi kerajaan, calon pilihan raya, pengundi, media dan lain-lain pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan penjalanan proses PRU14 dilaksanakan dengan lancar, aman dan telus.