Parti Politik Diingatkan Patuhi Undang-Undang Menjelang Pasca PRU14 – PDRM

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingkatkan semua penyokong parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak melanggar undang-undang menjelang pasca PRU14.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kerjasama daripada semua parti politik amat dihargai untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Kuala Lumpur dan Putrajaya terjamin.

“Polis Kuala Lumpur ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong parti-parti politik dan orang ramai yang mematuhi arahan serta memberikan kerjasama baik kepada polis.

“Selain itu, kami juga mengharapkan kerjasama yang baik dari penyokong parti-parti politik dan orang ramai ini berterusan sehinggalah pasca PRU14 dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Kuala Lumpur terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi, menggangu-gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang yang sedia ada.

Dalam pada itu katanya, proses mengundi di 225 pusat mengundi dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berjalan dengan aman dan terkawal sehingga pukul 5 petang ini.

Menurutnya, seramai 5,275 pegawai dan anggota polis termasuk penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengawal tahap keselamatan di semua pusat mengundi seawal pukul 4 pagi.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.