Perpaduan Elemen Penting Pacu Pembangunan Sosioekonomi Negara

KOTA KINABALU, 14 Sept – Perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum merupakan elemen penting untuk memacu pembangunan dan sosioekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata tanpa perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat adalah sukar bagi mana-mana kerajaan untuk merancang dan melaksanakan sebarang bentuk pembangunan dalam negara.

“Tidak ada negara yang boleh berdiri kukuh dan padu melainkan ia bermula dengan kesepaduan dan perpaduan di kalangan rakyatnya. Ekonomi tidak boleh berkembang kalau rakyat saling bercakaran, saling bergaduh di antara satu dengan lain,” katanya kepada pemberita selepas marasmikan program Dialog Antara Penganut Agama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Dialog melibatkan tokoh-tokoh agama yang mewakili agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan Pribumi Sabah berkenaan adalah anjuran Yayasan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasamma Istitut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan UMS.

Hadir sama Ketua Pengarah YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin dan Naib Canselor UMS Prof DR D Kamarudin D Mudin.

Menurut Jamil Khir, berdasarkan pengalamannya ketika bertugas di negara bergolak samasa masih menjawat jawatan sebagai pegawai tentera, beliau berkata pembangunan di negara bergolak berkenaan begitu sukar dilaksanakan disebabkan ancaman keselamatan termasuk kepada kontraktor.

“Senjata ampuh dalam konteks membina sebuah negara bermula daripada perpaduan. Amat sayang sekiranya kita tidak melihat perpaduan yang kita bina ini sebagai aset paling besar bagi negara Malaysia dalam mengorak langkah ke arah menjadi sebuah negara hebat dan disegani,”katanya.

Justeru katanya, program dialog agama berkenaan amat penting dan bermakna lebih-lebih lagi sasaran program itu ialah dalam kalangan generasi muda yang akan menerajui negara menjelang sasaran Malaysia untuk menjadi antara 20 negara termaju di dunia seperti dirancang dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya sekiranya unsur perpaduan sudah digarap mulai dari sekarang dalam kehidupan generasi muda yang merupakan pelapis kepimpinan negara akan datang, maka golongan ini akan lebih memahami kepentingan semangat perpaduan itu.

“Hari ini kita sudah boleh lihat sikap saling menghormati (dalam kalangan rakyat pelbagai kaum), boleh berkongsi jenis makanan berbeza, saling mengunjungi pada musim perayaan. (Ini) Perlu dilebarkan lagi dalam konteks dialog silang agama untuk kita dapat mewujudkan platform terbaik di mana kita harus menghormati dan melihat perbezaan itu sebagai satu kekuatan dan bukan untuk perpecahan,”katanya.

  • Infografik