Berbaloikah Rakyat Pilih Politik Caca Marba Pembangkang ?

SEGAMAT, 13 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Buloh Kasap, Hajah Norshida Ibrahim menyifatkan penting untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil supaya negara tidak mendapat tekanan daripada mana-mana pihak.

Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak beremosi dalam menentukan kerajaan supaya nasib rakyat terus terbela.

“Kita tak boleh main-main, ikut emosi sebaliknya kita perlu fikir dengan minda yang rasonal. Rakyat mahukan kestabilan, mahu kerajaan yang peka dan prihatin terhadap kebajikan rakyat dan realitinya, kerajaan BN mampu menunaikannya.

“Kerajaan BN mampu membela kebajikan rakyat, projek pembangunan boleh diteruskan termasuk menjaga permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Jadi, adakah berbaloi jika kita mengadaikan masa depan anak cucu kita dengan menolak kestabilan dan keharmonian negara yang dibawa dalam perjuangan BN selama ini, semata-mata untuk memilih kerajaan carca marba dan huru-hara serta tidak mempunyai hala tuju selain tikam sesama sendiri sebagaimana yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Norshida mempersoalkan dengan apa yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini, apakah jaminan dan apakah harapan yang mampu ditawarkan oleh pembangkang khususnya dengan keghairahan mereka untuk menawan Johor pada pilihan raya umum kelak.

“Masing-masing pun saling berantakan… Belum pun habis cerita satu kapal tiga nakhoda timbul pulak cerita baru. Satu demi satu masalah dan kontroversi melanda dan itulah harga yang perlu dibayar sekiranya tidak mempunyai agenda yang jelas.

“Matlamat bersama sekadar untuk menumbangkan kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) namun segala aspek dan perkara yang berkaitan lain dilihat lintang pukang dan itulah yang perlu mereka hadapi”, katanya.

Sebuah pakatan atau gabungan yang stabil jelas beliau lagi adalah seperti mana BN hari ini yang mana berpaksikan kepada muafakat bersama dan bukannya masing-masing mementingkan diri dan bersikap tikam belakang.

“Itulah yang mereka masih tidak mampu untuk meniru apa yang dilaksanakan oleh BN hari ini. Kita mengambil jalan konsensu dan bukannya sepertimana mereka yang dilihat masing-masing curiga mencurigai antara satu dengan yang lain. Itulah kelebihan kita sebenarnya,” tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Segamat. –MediaUMNO

  • Infografik