Wayang Apa Lagi Yang Azmin Cuba Lakukan?

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ketua UMNO bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata apa lagi yang Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tunggu berhubung kedudukan Pas di dalam kerajaan negeri berkenaan setelah struktur baharu pakatan harapan dibentuk di Selangor.

Tambahan pula tegas beliau, rakan-rakan sekutu di dalam pakatan harapan sendiri secara terang-terangan dan ada yang secara terbuka menggesa agar kedudukan Pas di dalam barisan kerajaan negeri serta pelbagai jawatan lain dikaji secara menyeluruh.

“Difahamkan pada konvensyen Parti Amanah Negara meluluskan usul supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas di negeri itu. Desakan daripada parti lain juga sealiran agar perkara ini dipertimbangkan.

“Jadi apa lagi yang Azmin tunggu…bukankah Pas tidak lagi mempunyai hubungan dengan parti berkenaan dan ianya telah diperkatakan sejak sekian lama mengenai keputusan terbabit. Jadi amat hairan apa lagi yang bermain di kepala Azmin sehingga beliau cukup sukar untuk melaksanakan gesaan mengenai soal berkenaan. ,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Konvensyen Parti Amanah Negara (PAN) Selangor pada Ahad meluluskan usul supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas di negeri itu. Usul yang dicadangkan oleh Ketua PAN Kawasan Ampang Mohd Anuar Mohd Yusof diterima oleh perwakilan tanpa sebarang penolakan.

Pada Jumaat pula, dilaporkan Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Selangor selepas mesyuarat pertama gabungan itu.

“Mesyuarat pagi ini fokus kepada pembentukan struktur kepimpinan Pakatan Harapan Selangor yang bukan sahaja terdiri daripada semua parti komponen tetapi semua bangsa termasuk pemimpin wanita,” kata Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail seterusnya menegaskan Azmin seolah-olah tidak menghormati rakan-rakan sekutu mereka di dalam pakatan harapan apabila masih mengekalkan kedudukan Pas sehingga ke hari ini.

Malah kata beliau lagi secara tidak langsung menteri besar itu juga tidak menghormati apa yang telah diputuskan oleh kepimpinan Pas bahawa mereka tidak mempunyai kerjasama politik dengan PKR.

“Sepatutnya dan sewajarnya telah lama kedudukan Pas di dalam kerajaan negeri itu dikaji. Ya lah…apabila tidak ada hubungan dan kerjasama politik apa lagi yang menjadi halangan. Inilah yang menjadi persoalan sebenarnya.

“Masyarakat umum dan rakyat tentunya tertanya-tanya…apakah wayang sebenar yang mahu dipertontonkan oleh Azmin dalam soal ini. Paling jelas sebenarnya kecelaruan sesama mereka dan masih tidak menemui jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasinya,“ ujarnya. MediaUMNO

  • Infografik