Skandal Forex BNM: Rugi RM30 Bilion, Siapa Jadi Kambing Hitam?

1. Apakah penjelasan TS Nor Mohamed Yakcop kepada RCI melalui kenyataan bertulisnya itu menandakan bahawa dia bersedia menjadi kambing hitam dalam skandal yang sudah lama tertutup.

2. Dia mengaku bertanggungjawab di atas kerugian besar itu, tetapi menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990an itu ditentukan oleh dia secara bersendirian. Maksudnya ada orang lain terlibat. Siapakah orang itu? Apakah dia bermaksud Gabenor BNM? Yang pasti Nor Yakcop cuba mengelak daripada mengaitkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.

3. Sebab itu penubuhan RCI ini penting. Walaupun ia kes lama, tetapi ia menimbulkan kesangsian kerana seolah olah ada yang tidak bercakap benar, ada unsur mahu menyembunyikan fakta dan ada ada juga unsur untuk melindungi seseorang.

4. Sebab itu isu paling penting di sini ialah kenapa jumlah kerugian yang diumumkan tidak sama dengan jumlah kerugian yang sebenarnya. Kenapa Mesyuarat Kabinet dan jawapan di Parlimen memberikan jawapan yang boleh disifatkan “berbohong”. Kenapa dan siapa yang mengarahkannya?

5. Anwar sendiri dalam keterangannya di hadapan RCI pada hari ini (7 September 2017) cuba berdolak dalik kenapa Mesyuarat Kabinet dimaklumkan kerugian hanya RM5.7 Bilion hakikatnya kerugian adalah dianggarkan sebanyak RM32.074 Bilion.

6. Yang menambahkan kesangsian ialah, kalau sudah tahu rugi kenapa diteruskan juga urus niaga mata wang asing itu sehingga kerugian mencecah puluhan bilion. Kenapa tidak diberhentikan serta merta? Mustahil TS Nor Yakcop membuat keputusan bersendirian dan mustahil juga jika tiada arahan dari pihak atasan.

7. TS Nor Yakcop mungkin boleh berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana melantik dia sebagai Penasihat Kewangan kepada beliau ketika berlaku Krisis Kewangan Antarabangsa pada tahun 1997/1998. Dia mendakwa pengalaman pahit akibat urus niaga mata wang asing yang merugikan itu membantu dia menyelamatkan negara dari krisis kewangan 1997/1998 yang boleh menyebabkan negara akan rugi teruk hingga ratusan bilion ringgit, banyak syarikat akan bankrap, pengangguran meningkat malahan kestabilan politik akan musnah.

8. Itu bukan isunya. Isunya rakyat telah dibohongi. Jangan pula kerana diberi peluang semula sebagai penasihat kewangan kepada Perdana Menteri semasa krisis kewangan tahun 1997/1998 menyebabkan TS Nor Mohamed Yakcop bersedia menjadi kambing hitam hingga tersembunyi fakta sebenar mengenai skandal kewangan yang menyebabkan negara kerugian pulohan bilion ringgit ketika itu.

Mohd Puad Zarkashi

  • Infografik