Guan Eng Jangan Biadap Dengan Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Presiden Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata, tuduhan Setiausaha Agung Dap yang belum disahkan jawatan Lim Guan Eng terhadap penahanan Exco Dap Pulau Pinang, Phee Boon Poh sebagai tahanan haram adalah satu tuduhan berat.

Jelas beliau tuduhan tersebut merupakan fitnah jahat yang bertujuan memburuk-burukkan nama baik penjawat awam malah ini bukanlah kejadian pertama Guan Eng dan pemimpin Dap menghina penjawat awam.

“Dalam satu pertemuan Guan Eng dengan pihak media pada 24 Ogos 2017 (Khamis) di Komtar, Pulau Pinang, Guan Eng dengan jelas telah menggunakan perkataan ‘penahanan haram oleh SPRM’ apabila menjawab soalan wartawan berhubung isu kilang haram di Sungai Lembu.

“Semasa kecoh isu penjualan tanah di Jalan Peel secara tanpa tender dan di bawah nilai pasaran juga Guang Eng telah menyalahkan agensi kerajaan di mana Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) menjadi mangsa tuduhan Guan Eng setelah kerajaan negeri rugi RM30.28 juta kerana tanah dijual di bawah nilai pasaran.

“Pada Oktober 2015, Guan Eng telah memberi hanya RM200 kepada tiga orang penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dimaki hamun sebagai pampasan agar mereka menarik balik laporan polis… ini semua adalah bukti di mana Guan Eng sememangnya tidak menghormati penjawat awam,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Azrinizam, mengikut rekod bukan hanya Guan Eng yang sering memandang rendah dan menghina penjawat awam kerana dahulu seorang ahli parlimen Dap pernah memaki penjawat awam di Pulau Pinang sebagai kucing kurap dan Guan Eng tidak pernah mengambil tindakan berkaitan hal terbabit.

“Inilah nasib penjawat penjawat awam di Pulau Pinang. Ini baru satu negeri yang dikuasai Dap, jika Dap menguasai pucuk pimpinan negara, apalah nasib semua penjawat awam di negara ini?

“Sudah terang lagi bersuluh, Dap sememangnya anti penjawat awam kerana itulah ada pemimpin mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya Dap berkuasa maka mereka akan membuang lebih sejuta orang penjawat awam di Putrajaya,” katanya.

Seterusnya beliau mendedahkan bahawa Guan Eng membiayai Penang Institute yang membuat cadangan tentang reformasi sektor perkhidmatan awam di Malaysia lantaran mengikut penilaiannya, Malaysia hanya memerlukan 430,000 orang sahaja penjawat awam.

“Jumlah penjawat awam di Malaysia kini adalah 1.6 juta orang. Bermakna sejumlah 1.2 juta orang akan kena buang kerja sekiranya mereka berkuasa maka tidak hairanlah mengapa Guan Eng tidak pernah mahu menjaga hati penjawat awam. Rupa-rupanya dia memasang niat mahu membuang penjawat awam sekiranya berjaya menguasai tampuk pimpinan negara.

“Umum mengetahui dalam 1.2 juta penjawat awam, majoritinya adalah orang Melayu, ini sekaligus menunjukkan sikap rasis dan biadap Guang Eng.

“Saya amat berharap agar rakyat dapat membuka mata terhadap tipu muslihat Dap ini,” tegasnya. – MediaUMNO

  • Infografik