PKR, PAN Dan PPBM Hanyalah Gabungan Politik Penyokong Dap

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Nordin meminta rakyat agar tidak tertipu dengan retorik kata-kata pimpinan parti-parti pembangkang  berteraskan bangsa Melayu seperti PPBM, PKR dan juga PAN, yang kononnya akan tetap memelihara asas-asas fundamental seperti Islam dan hak-hak istimewa bangsa Melayu jika mereka diberikan kuasa untuk memerintah negara.

Hakikatnya kata beliau, kesemua parti tersebut akhirnya akan terpaksa  tunduk kepada ideologi politik Malaysian Malaysia Dap dan terpaksa bergantung talian hayat kepada kekuatan parti yang dianggap cauvinis dan rasis itu demi untuk berkuasa.

Tambah Jasmin, biarpun pimpinan parti-parti seperti PPBM dan PAN menguar-uarkan kepada rakyat bahawa isu hak keistimewaan bumiputera dan Islam akan terus dipelihara, namun pimpinan parti-parti tersebut tidak dapat menafikan bahawa mereka  akhirnya terpaksa tunduk kepada kehendak Dap dalam urusan pentadbiran dan sebagainya.

“Sebenarnya sudah banyak contoh di mana parti-parti pembangkang yang bernaung di bawah pakatan pembangkang terpaksa tunduk dengan kehendak Dap. Contoh satu ketika dulu, kalau kita masih ingat tentang isu penjualan arak di kedai-kedai 24 jam di negeri Selangor, akhirnya kerajaan negeri Selangor terpaksa juga tunduk dengan kehendak seorang wakil Dap. Isu arak itu juga antara penyebab bekas pesuruhjaya Pas Selangor, Dato Dr Hassan Ali akhirnya tersingkir dari pentadbiran negeri.

“Begitu juga ketika Perak jatuh ke tangan pembangkang. Biarpun YB Nizar Jamaluddin daripada Pas dilantik sebagai Menteri Besar Perak, namun ternyata Daplah yang menguasai pentadbiran negeri Perak apabila segala keputusan yang mahu dibuat perlu merujuk kepada pimpinan Dap terlebih dulu. Tidak hairanlah Nizar boleh buat keputusan untuk menyerahkan hak milik tanah kampung baru Cina kepada penduduk kampung tersebut selama 999 tahun, yang mana tidak pernah berlaku pun sebelum ini.

“Sama juga kes pertelagahan antara Pas dan Dap yang menyebabkan pakatan pembangkang berpecah sebanyak dua kali. Perpecahan itu dikatakan berpunca apabila Pas tidak mahu tunduk kepada kehendak dan idelogi politik Malaysia Malaysian yang liberal dan tidak sesuai untuk sebuah negara Islam seperti di Malaysia ini.

“Jadi pada pandangan saya, parti-parti pembangkang seperti PPBM, PAN termasuk juga PKR hanyalah satu pakatan himpunan parti-parti politik penyokong Dap saja. Tidak lebih dari itu. Mereka boleh berjanji dengan pelbagai janji-janji manis untuk mengekal hak-hak istimewa bumiputera, Islam sebagai agama persekutuan dan sebagainya, namun akhirnya keputusan itu ada di tangan Dap, bukan mereka,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Justeru itu, beliau berharap agar pengundi, khususnya pengundi Melayu sedar akan hakikat penguasaan Dap dalam Pakatan Harapan dalam senario politik pembangkang hari ini.

“Seperti yang kita tahu, pimpinan Dap tidaklah begitu kemaruk mahukan jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar atau apa saja. Mereka tidak ada masalah dan sanggup untuk membenarkan ‘muka Melayu’ memegang jawatan tersebut, asalkan mereka yang menguasai dan menentukan apa juga keputusan yang dibuat oleh di pemegang jawatan itu untuk urusan pentadbiran, politik dan sebagainya.

“Inilah yang sepatutnya kita sedar. Hakikatnya hari ini, Daplah yang menguasai pakatan pembangkang dengan kekuatan kerusi yang ada pada mereka, dan parti-parti lain yang berwajah Melayu itu hanyalah alat atau boneka Dap untuk melaksanakan hasrat mereka bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang liberal dan sama rata.

“Konsep sama rata yang ingin dilaksanakan oleh Dap amat tidak sesuai di negara ini, memandangkan Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu mempunyai adat, budaya dan sejarahnya yang tersendiri sejak ribuan tahun dulu.

“Jika pembangkang diberi mandat oleh rakyat untuk menguasai parlimen dan mentadbir negara, adalah tidak mustahil bahawa segala apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan selama ini, khususnya dalam hal-hal agama Islam dan bangsa Melayu akan berubah mengikut acuan dan kehendak Dap,” ujarnya.-MediaUMNO

  • Infografik