Wujudnya ‘Kartel’ Dan ‘Barah’ Bukti Jelas Pembangkang Gila Kuasa

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pertikaian dalaman yang berlaku di dalam PKR hari ini sehingga munculnya gelaran ‘kartel’ dan ‘barah’ memperlihatkan pembangkang sebenarnya gilakan kuasa sekaligus menunjukkan ungkapan yang dicanang kononnya kelahiran perjuangan mereka adalah untuk rakyat sekadar kosmetik semata-mata.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Borhan, tidak dapat dinafikan hari ini bagaimana pertembungan serta pertikaian dalaman yang selama ini cuba dirahsiakan di kalangan mereka telah menjadi tatapan umum antara kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali dan juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurut beliau di kalangan mereka sebenarnya masing-masing sedang bergelut untuk mencapai matlamat yang tersendiri dan menggunakan alasan demi rakyat bagi menjayakan hasrat masing-masing.

“Azmin sudah tentu dan sudah pasti akan menggunakan segala sifir politiknya untuk memastikan kedudukannya sebagai menteri besar dan juga orang nombor dua di dalam parti berada dalam keadaan selamat.

“Manakala di sebelah pihak lagi pula, pelbagai jawatan di dalam pucuk pimpinan PKR sudah tentu menjadi idaman masing-masing lantas inilah waktu dan masa yang terbaik untuk menggerakkan segala jentera bagi memastikan impian dan harapan terlaksana.

“Inilah masanya untuk kedua-dua belah pihak menggunakan segala silat politik bagi menjayakan agenda tersendiri, dan akhirnya bukankah rakyat yang menjadi mamgsa kepada keadaan tersebut? Jelaslah bahawa apa yang mereka perkatakan selama ini sebenarnya seumpama menanam tebu di bibir mulut semata-mata,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Pertikaian dalaman yang berlaku di dalam PKR hari ini makin ketara sehingga munculnya gelaran ‘kartel’ dan ‘barah’ yang bukan lagi menjadi rahsia biarpun di kalangan mereka selama ini cuba ditutup.

Halimaton seterusnya menegaskan sepatutnya kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor menjadi keutamaan dan bukannya agenda serta kepentingan diri yang menjadi perkara pertama diutamakan kerana rakyat memberi kepercayaan untuk membela nasib mereka.

Katanya, inilah bukti memperlihatkan mereka menjadikan kuasa sebagai perkara pertama dan hal tersebut sewajarnya menjadi penilaian terbaik untuk rakyat Selangor membuat pertimbangan secara mendalam bagi memilih pemimpin.

“Kita tunggu buat seketika untuk melihat lebih dekat bagaimana pertembungan ini bakal berakhir…namun yang jelasnya di sini munculnya label dan gelaran kartel serta barah yang secara jelas memperlihatkan perangai sebenar pembangkang dalam mengejar kuasa dan apa yang dicanang kepada rakyat sekadar retorik,” katanya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik