Sandiwara Pakatan Harapan Sekadar Umpan Untuk Pancing Undi PRU-14

LABIS, 5 Sept – Kesepakatan ditunjukkan dalam pembangkang yang menggelarkan mereka sebagai pakatan harapan hanyalah sandiwara dan persepsi politik bagi mengaburi rakyat tentang keberantakan yang berlaku dikalangan mereka, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Labis, Haslinda Salleh

Ujar beliau, apabila pakatan harapan ini bersepakat dan kemudiannya menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya maka sebenarnya ia hanyalah sebagai umpan untuk memancing undi orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

“Reaksi suam-suam kuku pemimpin Dap dan PKR tentang kerjasama dengan PPBM dan keinginan Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi bukanlah gambaran realiti sebenar dalam pakatan pembangkang yang kononnya positif. Saya yakin Tun Mahathir tidak akan diberi kepercayaan menjadi Perdana Menteri oleh Lim Kit Siang kerana kuasa autonomi pembangkang itu sendiri ada di tangan Dap.”

“Ini adalah permainan politik pakatan harapan yang hanya berpaksikan agenda peribadi masing-masing lantas saya berharap supaya rakyat dapat menilai dan membuat keputusan tepat untuk memilih parti dan barisan pemimpin sebagai wakil mereka nanti. Pilihlah parti yang benar-benar telah terbukti mengemudi negara dengan makmur, harmoni dan stabil selama berpuluh tahun lamanya iaitu Barisan Nasional (BN),” ujarnya yang juga Setiausaha Wanita UMNO Negeri Johor.

Katanya, reaksi ahli akar umbi dalam Dap dan PKR sendiri dilihat tidak menyokong langsung Tun Mahathir untuk mewakili pakatan harapan kerana mereka tahu Tun Mahathir mempunya agenda tersendiri.

“Kepura-puraan persetujuan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang ternyata untuk memperalatkan Tun Mahathir bagi memancing dan memujuk pengundi-pengundi terutamanya pengundi Melayu.

“Impian dan langkah Tun Mahathir diterima bersama pakatan pembangkang hanya akan lebih mengkucar-kacirkan dan memperlekehkan perjalanan serta kanvas politik negara ini. Perlu diingat bahawa yang menjadi mangsa utama di dalam kemelut ini adalah rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, saya menyeru rakyat sedar, membuka mata dan menggunakan kebijaksanaan untuk menilai permainan politik yang diwayangkulitkan oleh pakatan harapan supaya tidak diperdaya dan ditipu oleh mereka lantaran mahu merealisasikan agenda politik peribadi masing-masing,” tambahnya. – MediaUMNO

  • Infografik