Bersatulah Kita Melayu Seperti Mana Pernah Bersatu Untuk Capai Kemerdekaan

Assalamualaikum,
Salam Sejahtera dan Salam Merdeka

31 hari bulan Ogos 2017 adalah hari yang penuh bersejarah dan ianya adalah hari keramat yang hendaklah dikenang dan dirayakan oleh rakyat Malaysia berbilang kaum yang cintakan negara ini dan khasnya bangsa Melayu sebagai hari yang memerdekakan negara kita yang tercinta ini dari cengkaman penjajah.

Sempena meyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang ke-60 tahun pada tahun 2017 ini saya terpanggil untuk memberi pendapat menerusi pengalaman dan penglibatan saya dalam gerakkan menuntut kemerdekaan negara semenjak tahun 1946 lagi khasnya mengenai kehebatan yang di perjuangkan oleh bangsa Melayu.

Bahawa pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu adalah bermula hasil daripada Penyatuan Bangsa Melayu.

Dengan penyatuan bangsa Melayu, kita telah memerdekakan negara kita, Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia.

Dengan teras penyatuan bangsa Melayu, kita telah membina Negara kita dengan jayanya.

Dengan penyatuan bangsa Melayu juga ianya tidak berniat dan tidak akan menafikan hak semua kaum yang menjadi warga negara Malaysia sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian “KONTRAK SOSIAL” yang persetujuan oleh semua kaum yang mengakui taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara ini.

Dengan berpegang teguh konsep Penyatuan Bangsa Melayu juga seterusnya adalah asas kekuatan perpaduan, kestabilan politik dan kemakmuran Negara untuk semua kaum yang tinggal di negara yang tercinta ini.

Bangsa Melayu telah banyak bertolak ansur dan mengkorbankan hak-hak mereka kepada kaum-kaum lain di negara ini demi mencapai kemerdekaan negara.

Kebahagian negara, kestabilan politik, kemakmuran rakyatnya yang terdiri dari berbagai kaum berteraskan kepada penyatuan bangsa Melayu.

Kini, bukan sahaja negara kita yang tercinta ini teruji dan tercabar bahkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang teruji dan tercabar akibat dari perpecahan orang-orang Melayu yang ghairah berpolitik.

Menerusi perayaan Ulang Tahun yang ke-60 2017, marilah kita menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang tercinta ini, dengan hasrat dan niat serta berdoa kehaderat Allah S.W.T supaya orang-orang Melayu bersatu semula tanpa mengira fahaman pegangan ideologi dan latar belakang politik bagi mewujudkan semula simbol ketuanan bangsa Melayu di negara ini sebagaimana seruan “Bersatulah Kita Orang-Orang Melayu Sepertimana Kita Pernah Bersatu, Sebagaimana Kita Berjaya Mencapai Kemerdekaan Negara Kita”

Apalah sangat untuk mementingkan – Kedudukan, Martabat, Pangkat, Jawatan, Fahaman kerana semuanya ini adalah sementara.

Kembalikanlah ke pangkal untuk kita bangsa Melayu bersama-sama membuktikan bahawa kita adalah suatu bangsa yang bermaruah dan bermartabat dan bersatupadu.

Justeru itu akan terbina suatu benteng kekuatan bangsa yang kukuh yang tidak boleh diganggu dan digugat oleh sesiapa pun.

Untuk mengenang sejarah dan erti kemerdekaan, generasi muda masa kini perlu dan wajib diberi pengertian bahawa pencapaian kemerdekaan negara kita bukan datang secara bergolek.

Banyak pengorbanan dari segi tenaga, harta benda, wang ringgit mahupun nyawa yang telah dilakukan dan telah dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan pembela tanah air termasuk angkatan bersenjata dan polis untuk menentang musuh dari dalam dan luar negara.

Atas kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Melayu khasnya pemimpin yang teragung, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan dibantu dengan jujur dan iklas oleh Pemimpin-Pemimpin lain seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Bin Abdul Rahman, Mendiang Tun Tan Cheng Lock, Mendiang Tun Colonel H.S. Lee, Mendiang Tun Tan Siew Sin, Mendiang K.L Devaser, Mendiang Tun Sambanthan dan lain-lain pemimpin negara yang telah membawa Kemerdekaan Negara kita menerusi perundingan dengan penjajah Inggeris.

Namun diantara Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku, terdapat ramai lagi tokoh-tokoh besar dan kecil sebagai pejuang dan pembebas tanah air kita dari cengkaman penjajah dan anasir-anasir jahat, yang mana nama-nama mereka tertinggal dalam catatan tinta emas lipatan sejarah.

Kita hanya berserah kepada Allah S.W.T Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui dan semoga Allah merahmati perjuangan dan roh-roh mereka sebagai pembela watan dan dihimpun bersama para syuhada dan Solihin. Amin.

PUISI KENANGAN UNTUK BAPA KEMERDEKAAN
SEMPENA ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-60

Tunku Abdul Rahman,
Kau Bapak Kemerdekaan,
Putera raja kurniaan Yang Esa,
Untuk watan dan bangsa tercinta.

Berdarah raja berjiwa rakyat,
Menabur bakti penuh tekad,
Merancang diplomasi mengatur bicara,
Demi kemerdekaan nusa dan bangsa.

Bapak Kemerdekaan,

Di meja bulat engkau berdebat,
Berdepan penjajah bangsa keparat,
Lidahmu petah akalmu tinggi,
Akhirnya kemerdekaan berjaya diperolehi.

Jiwamu tenang sepanjang masa,
Wajahmu sentiasa senyum mesra,
Di bibir rakyat namamu terukir,
Pujian diberi tanpa akhir.

Bapak Kemerdekaan,

Putra Melayu anugerah Yang Esa,
Sinarmu bagai bulan purnama,
Tingkahmu indah mempersona,
Di bumi keramat warisan bangsa.

Jasa dan baktimu seluas laut biru,
Besar kesan dan banyak manfaatnya,
Membebaskan nusa memajukan bangsamu,
Menjadi tauladan sepanjang masa.

Bapak Kemerdekaan,

Kepimpinanmu bertuah,
Mendapat seorang Pembantu Perkasa,
Yang cukup taat dan setia,
Abdul Razak Hussein namanya,
Wira yang gigih bekerja,
Yang kurang berbicara,
Fikiranya pelita hati,
Ketulusannya sudah teruji.

Berdada lapang dan tinggi budinya,
Bertutur dengan penuh adab dan makna,
Sangat bijak ia dalam mengatur langkahnya,
Sentiasa cermat awasi dalam pemerhatiannya.

Tunku Abdul Rahman,
Bapak Kemerdekaan,
Kau sentiasa tekun mengharungi onak dan duri,
Kau sentiasa tabah menungkah gelombang,
Jika marah pun dalam ketawa
Jika susah dalam senyum jua…

Bapak Kemerdekaan,

Kau memimpin dengan menyedari yang dipimpin,
Menegur dengan menyedari yang ditegur,
Mengarah dengan menyedari yang diarah.

Kau menghukum dengan menyedari yang dihukum,
Memuji dengan menyedari yang dipuji,
Menguji dengan menyedari yang diuji,
Menolong dengan menyedari yang ditolong.

Bapak Kemerdekaan,

Kau sentiasa peka dan berdiri teguh pada yang benar,
Hanya pada yang benar.

Itulah Bapak Kemerdekaan yang kami hormati,
Itulah Bapak Kemerdekaan yang kami sayangi,
Itulah Bapak Kemerdekaan yang kami abadikan dalam hati.
Amin.

Ikhlas daripada:
Tan Sri Dato Seri Hj Mohd Yussof Latiff
TOKOH MELAYU TERBILANG UMNO 2017
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang(PEMENANG)
30 Ogos 2017

  • Infografik