Tolak Jemputan White House Letakkan Kit Siang Ke Taraf ‘Politik Longkang’

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Undangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trumph kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat lawatan rasmi ke negara tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada pihak pembangkang memandangkan selama ini mereka menjaja cerita seolah-olah Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang amat dikehendaki pihak berkuasa negara itu berhubung isu 1MDB, demikian jelas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, pembangkang kini sudah mula terperangkap dalam skrip yang mereka ciptakan sendiri apabila undangan tersebut secara tidak langsung telah mengagalkan rancangan mereka untuk menggambarkan kepada rakyat kononnya Amerika Syarikat mahu menyiasat Datuk Seri Najib berhubung skandal tersebut.

“Satu perkara yang pembangkang tidak pernah terbayangkan apabila dalam usaha mereka memutar belitkan cerita dan cuba mengaitkan perdana menteri dengan skandal 1MDB dan keterlibatan Amerika Syarikat dalam isu tersebut, tiba-tiba White House menjemput Datuk Seri Najib untuk mengadakan lawatan rasmi ke sana.

“Mereka cuba spin cerita tentang isu ini agar rakyat mempercayai kata-kata mereka, namun sebelum rakyat percaya akhirnya mereka sendiri yang terperangkap dalam skrip yang mereka bina. Pembangkang menjaja cerita kepada rakyat kononnya kalau Datuk Seri Najib pergi ke Amerika, beliau akan ditangkap. Mereka jaja cerita kononnya Datuk Seri Najib merupakan pemimpin yang tidak lagi diiktiraf oleh Amerika berhubung isu 1MDB.

“Jadi apabila berlakunya satu keadaan yang amat berbeza dengan skrip yang mereka rancang, apabila White House mengundang Datuk Seri Najib untuk membuat lawatan rasmi ke sana pada 12 September akan datang ini ke sana, maka jelaslah kini pembangkang sendiri telah terperangkap dalam skrip yang mereka ciptakan itu,” tegasnya.

Annuar berkata demikian di hadapan pemberita dalam satu sidang akhbar selepas satu pertemuan tertutup dengan ketua-ketua penerangan bahagian UMNO dan sayap-sayap UMNO negeri Terengganu, di sini hari ini.

Kata beliau lagi, untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap kegagalan perancangan skrip mereka dengan mengaitkan Datuk Seri Najib dan isu 1MDB, maka pihak pembangkang terpaksa mencari jalan lain bagi mengalih perhatian rakyat daripada memberikan tumpuan terhadap kegagalan yang mereka ciptakan itu.

“Sebab itu Lim Kit Siang membuat surat terbuka kepada semua menteri-menteri dengan undian secara veto untuk meminta Datuk Seri Najib agar tidak memenuhi undangan daripada White House itu.

“Cuba bayangkan sekiranya semua menteri buat keputusan untuk menolak dan tidak membenarkan perdana menteri kita memenuhi undangan White House itu, apa agaknya pandangan masyarakat dunia dan Amerika Syarikat sendiri tentang keputusan tersebut?

“Apakah keputusan seperti itu mendatangkan kebaikan kepada negara apabila Presiden Amerika membuat jemputan kepada Perdana Menteri kita, dan kita pula menghalang beliau supaya pergi memenuhi jemputan tersebut? Sebutkan pada saya satu kebaikan berhubung cadangan yang dibuat oleh Kit Siang itu?” soal beliau.

Ekoran cadangan tersebut, Ahli Parlimen Ketereh itu berpandangan bahawa Lim Kit Siang telah merendahkan martabatnya sendiri sebagai seorang ahli politik senior di dalam gelanggang politik tanahair.

“Saya amat bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya cadangan seperti itu keluar daripada seorang ahli politik yang senior di dalam negara ini.

“Jika seorang ahli politik yang baru berkata demikian, mungkin kita boleh terima kerana dia baru di dalam gelanggang politik negara, tetapi cadangan seperti itu keluar dari mulut seorang ahli politik senior seperti Lim Kit Siang, yang mana sudah berpuluh tahun bergelumang di dalam gelanggang politik negara.

“Ternyata dengan cadangan seperti itu, Lim Kit Siang telah merendahkan martabatnya sendiri ke taraf ‘politik longkang’ dengan melontarkan cadangan yang begitu tidak munasabah sekali,” ujarnya.

Annuar seterusnya berkata, cadangan itu timbul adalah disebabkan beliau yang merupakan pencatur utama bagi pakatan harapan, kini terperangkap dalam skrip-skrip propagandanya sendiri untuk memburukkan kerajaan dan perdana menteri.

“Sekarang ini, Kit Siang cuba untuk mencari sesuatu yang baru setelah skrip beliau yang pertama mengenai forex sedang menuju kehancuran. Bertahun-tahun lamanya Lim Kit Siang mendesak kerajaan untuk mewujudkan RCI terhadap isu forex ini, namun isu forex ini akhirnya memakan dirinya sendiri apabila Tun Mahathir kini sudah berada di pihak pembangkang.

“Begitu juga dengan skrip pembangkang berhubung isu 1MDB yang dijaja mereka kononnya Datuk Seri Najib amat dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat juga telah gagal, ekoran undangan White House kepada Datuk Seri Najib baru-baru ini.

“Maka dengan itu beliau terpaksa mencari jalan lain untuk mengalih fokus rakyat daripada tertumpu kepada kegagalan skrip yang mereka rancangkan bagi memburukkan imej Datuk Seri Najib dan kerajaan di mata rakyat selama ini,” tambah beliau lagi.-MediaUMNO

  • Infografik