Perang Konflik Dalaman Makin Kronik: Pakatan Harapan Terus Kusut, Huru Hara

KUALA TERENGGANU, 29 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohd Aris menyifatkan senario politik pakatan harapan yang terbaru semakin kusut dan bercelaru berhubung isu pertemuan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipertikaikan secara terbuka oleh parti-parti pembangkang yang lain, termasuk di kalangan pemimpin PKR sendiri.

Menurut beliau, pertemuan tersebut ternyata telah menimbulkan masalah dan polemik  baru di kalangan pimpinan parti pembangkang sehingga akhirnya menjadi punca perbalahan sesama mereka sendiri.

“Terbaru kita lihat bagaimana pimpinan Timbalan AMK Dr. Afif Bahardin membidas kenyataan Rafizi Ramli berhubung pertemuan tersebut. Sebelum itu, parti-parti pembangkang yang lain seperti PAN juga memberikan reaksi yang negatif terhadap pertemuan tersebut dan menganggap pimpinan PKR menikam mereka dari belakang.

“Sebelum ini, Dap turut memberikan reaksi negatif terhadap pertemuan tersebut melalui kenyataan ADUN Pinji, Howard Lee yang menyifatkan pertemuan tersebut hanya membuang masa dan serta tidak produktif memandangkan Pas telah memgambil keputusan untuk tidak lagi bersama pakatan harapan.

“Senario tersebut juga memperlihatkan bahawa PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak yakin dengan kemampuan PAN dan juga PPBM dalam menghadapi PRU ke 14 yang akan datang ini,  menyebabkan Anwar sendiri bersetuju dengan pertemuan tersebut, seperti yang didakwa oleh Timbalan AMK, Dr Afif Bahardin dalam kenyataannya ketika membidas Rafiz yang mempertikaikan pertemuan tersebut,” jelasnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Senario politik terbaru pakatan harapan ini menurut Dr Najmil lagi, merupakan satu lagi isyarat bahawa ketidakstabilan kerjasama antara parti-parti pembangkang di dalam pakatan harapan kini berada dalam keadaan yang serius dan kritikal.

“Isu baru yang timbul ini memperlihatkan bahawa kerjasama antara parti-parti pembangkang di dalam pakatan harapan berada di dalam keadaan yang kritikal. Perkara ini juga memperlihatkan tidak ada perbincangan sesama pimpinan pakatan itu sendiri berhubung strategi pakatan harapan dalam menghadapi PRU ke 14,seolah-olah setiap parti mengambil jalan masing-masing tanpa persetujuan semua pihak.

“Bagi saya,  isu pertemuan pimpinan PKR dengan pimpinan Pas ini akan menjadi satu masalah yang berlarutan memandangkan pertemuan tersebut telah menimbulkan rasa syak wasangka di antara parti-parti lain di dalam pakatan harapan terhadap PKR,” ujarnya.

Beliau turut melontar keyakinan bahawa konflik yang berlaku di dalam pakatan harapan ini tidak mampu di selesaikan oleh pimpinan pembangkang sebelum tiba PRU ke 14 memandangkan banyak lagi isu-isu lain sebelum ini, seperti isu pembahagian kerusi, isu siapa PM dan TPM masih tidak selesai.

“Jika dilihat daripada cara pimpinan pembangkang menangani isu, saya yakin bahawa isu ini juga tidak akan selesai dalam masa yang terdekat, seperti mana isu-isu lain yang sehingga ke hari ini masih tidak selesai.

“Jika masalah ini terus berlarutan, maka saya yakin bahawa mereka tidak mampu untuk mengelak daripada berlakunya bertembungan dua atau tiga atau empat penjuru di kalangan parti pembangkang sesama sendiri dalam PRU ke 14 yang akan datang ini,”tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik