Politik Persepsi, Politik Terdesak Pembangkang – Shahrir Samad

JOHOHR BAHRU, 28 Ogos – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, politik persepsi yang semakin agresif dimainkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah lambang betapa terdesaknya pembangkang mahu mengelirukan rakyat demi mencalarkan imej kerajaan sedia ada.

Jelas beliau, disebabkan sifat terdesak ini maka politik persepsi digunakan untuk memomok-momokkan rakyat agar berasa takut seolah-olah negara sedang berhadapan dengan masalah besar.

“Sebenarnya politik persepsi ini adalah perkara biasa bila musuh mahu menjadi popular… maka mereka momokkan rakyat agar berasa takut.

“Seperti di Johor ini, rakyat sering ditakutkan kononnya orang Melayu Johor akan diusir keluar jika orang Cina datang, istana mahu rampas tanah rakyat… ini semua sebab pembangkang sebenarnya sudah semakin terdesak.

“Mereka mahu rakyat berasa terancam dan akhirnya memilih mereka pada pilihan raya nanti,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Shahrir, bagi mereka yang sukakan cerita sensasi tanpa mahu melihat realiti maka mereka akan mudah terpengaruh dan akibatnya mereka akan menyesal apabila mula sedar kenyataan sebenar.

“Kita lihat contoh, pembangkang cuba gambarkan orang Melayu hidup susah, tapi hakikat sebenar setiap tahun permintaan untuk menunaikan umrah dan haji meningkat. Inilah realitinya….

“Jadi saya berharap rakyat akan melihat kepada fakta sebelum mempercayai sebarang berita yang disampaikan. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah,” katanya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik