RCI Skandal Forex Atas Desakan Dap – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan pihak pembangkang yang mendakwa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Forex yang berlaku di zaman pemerintahan Dr Mahathir adalah bertujuan untuk membalas dendam terhadap bekas perdana menteri itu, dan menyifatkan kenyataan itu hanyalah bermotifkan politik semata-mata.

Menurut beliau, RCI dilaksanakan oleh kerajaan adalah berdasarkan permintaan rakyat, demi kepentingan rakyat dan bukanlah sengaja dilaksanakan dengan niat seperti mahu membalas dendam dan sebagainya terhadap mana-mana individu, termasuk Dr.Mahathir.

“RCI ini biasanya ditubuhkan berdasarkan permintaan daripada rakyat. Dan untuk melaksanakan RCI ini, kerajaan mesti mengkaji sentimen rakyat dan juga keperluan terhadap satu-satu isu yang kadang-kadang berubah.

“Dalam isu RCI Skandal Forex ini, Lim Kit Siang telah membangkitkan perkara itu di dalam parlimen pada tahun 1994, iaitu setahun selepas tersebarnya berita bahawa negara kerugian berbilion ringgit dalam pelaburan tersebut.

“Dan 12 tahun kemudian, pada tahun 2006, Lim Kit Siang sekali lagi membangkitkan isu tersebut di dalam parlimen dan menuntut supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat perkara ini malah beliau memberikan fakta-fakta yang lebih terperinci berhubung kerugian yang dialami oleh negara berhubung perkara tersebut.

“Dan Kit Siang juga merupakan orang pertama yang memberikan gambaran jumlah kerugian kerajaan dalam forex trading itu telah mencecah separuh daripada jumlah rezab negara yang ketika itu keseluruhannya berjumlah sebanyak RM60 bilion.

“Jadi RCI berhubung Forex Trading ini sebenarnya dilaksanakan oleh kerajaan atas kehendak dan inisiatif Dap yang mendesak mahu satu siasatan terhadap perkara tu dijalankan dan kerajaan melihat desakan Dap ini sebagai satu perkara yang relevan untuk kepentingan rakyat di negara ini,” ujarnya dalam sidang media pasca Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWCT hari ini.

Jelas Annuar lagi, pada tahun 1993, kerugian pelaburan dalam forex trading itu yang berjumlah lebih RM30 bilion, telah pun disahkan oleh siasatan RCI yang sedang berlangsung sekarang ini.

“RM30 bilion itu adalah kerugian sebenar yang tidak akan negara dapat balik sampai bila-bila. Bukan kerugian yang hanya di atas kertas, tetapi kerugian sebenar yang kita hilang buat selama-lamanya. Ia tidak seperti isu yang berlaku kepada  1MDB, di mana kerugian 1MDB  itu berdasarkan di atas kertas, namun perniagaan 1MDB masih berjalan, masih mampu memperoleh untung dan masih mampu melakukan rasionalisasi bagi mengatasi sebarang kerugian yang berlaku.

“Pembangkang pula membayangkan seolah-olah hutang 1MDB itu tidak mampu dilunaskan dan rakyat terpaksa tanggung hutang-hutang tersebut, ini satu maklumat yang tidak betul. Kerugian itu hanyalah dari atas kertas dan dari segi perniagaan, syarikat  1MDB tidak lingkup secara total dan masih lagi menjalankan perniagaannya .

“Tetapi ia berbeza dengan kerugian yang dialami oleh kerajaan dalam pelaburan forex trading ini di mana kerugian yang dialami oleh negara adalah kerugian yang sebenar dan secara total. Ini merupakan satu kerugian yang mencatat rekod dunia di mana tidak ada negara yang mengalami kerugian begitu besar yang menyebabkan kehilangan separuh daripada rezab negara,” tegasnya.-MediaUMNO

  • Infografik