Tagih Hindraf : Pembangkang Makin Kronik, Bercelaru

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Jika Pakatan Harapan sebuah gabungan yang kuat dan mampu menggugat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 akan datang, tidak mungkin pakatan tersebut terpaksa mengemis sokongan daripada Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, tindakan PPBM mengajak Hindraf bersama membuktikan bahawa Pakatan Harapan yang didominasi oleh parti rasis, Dap berada dalam keadaan bercelaru dan masih gagal membentuk gabungan yang kukuh.

“Apabila blok pembangkang terpaksa mengemis ehsan dan sokongan Hindraf, bermakna mereka lemah, tidak kuat dan tidak ada hala tuju untuk berdepan dengan BN khususnya UMNO pada PRU akan datang,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.

Lagipun jelas beliau, tidak kesemua parti gabungan Pakatan Harapan terdiri Dap, PKR, PAN bersetuju dengan cadangan PPBM untuk menjemput Hindraf bersama mereka.

“PPBM yang mengemukakan cadangan kepada Hindraf tetapi dikatakan tanpa pengetahuan rakan mereka dalam Pakatan Harapan, ini bermakna sesama mereka sudah bertelagah,” katanya.

Beliau berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali secara terbuka seperti keberatan dengan cadangan tersebut dan mahu perbincangan diadaklan membabitkan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

Minggu lalu, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dilaporkan media bercadang untuk mengajak Hindraf menyertai Pakatan Harapan sebagai persiapan menentang BN pada PRU akan datang.

Dr Mahathir dikatakan telah mengadakan pertemuan sulit dengan Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata, Pakatan Harapan ternyata berada dalam keadaan terdesak dan terpaksa mengemis  sokongan daripada Hindraf.

Bagaimanapun tegas beliau, sama ada Hindraf menjadi rakan kelima pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak akan memberi sebarang tekanan kepada BN dan UMNO.

“Tidak ada sebab mengapa kita perlu gusar dengan kemungkinan Hindraf menyertai blok pembangkang, bagi UMNO perkara seperti itu adalah lumrah setiap kali menjelang PRU,” tegasnya.

Beliau berkata, fokus BN dan UMNO sekarang inilah ialah meningkatkan usaha dan gerak kerja secara bersepadu disetiap peringkat kepimpinan parti bagi memastikan kemenangan dapat diulangi pada PRU akan datang.

Untuk tujuan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya lebih berani untuk menyekat kemaraan pembangkang yang menggunakan senjata fitnah menerusi laman-laman sosial untuk menyerang UMNO.

“Saya ingin mengulangi perkara ini, kita (UMNO) jangan berasa berada di zon selesa, kita kena bekerja keras begi memastikan BN mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menolak dakwaan Pas bahawa pasti itu berupaya memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa yang diwakili oleh Menteri Kewangan ke-2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Putrajaya (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dan Setiawangsa (Datuk Ahmad Fauzi Zahari).

Menurut beliau, Pas boleh ‘bercerita’ kononnya mereka kuat dan mampu merampas kerusi Parlimen Titiwangsa, Setiawangsa dan Putrajaya tetapi keadaan tidak semudah itu kerana ketiga-tiga kerusi tersebut merupakan kubu kuat UMNO.

“Mereka (Pas) boleh berangan-angan tetapi saya tetap yakin pengundi di kawasan berkenaan tetap memberi kepercayaan kepada BN dan UMNO untuk memenanginya dengan lebih cemerlang pada PRU akan datang,” jelasnya.

  • Infografik