Kena Serbu SPRM : MB Selangor Jangan Main Wayang, Usah Melatah

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali perlu bersikap terbuka apabila berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kali ini yang membabitkan Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Diperbadankan (MBI), kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Ujarnya, sebagai ketua kerajaan negeri dan wakil rakyat, Azmin tidak wajar membuat tuduhan tidak berasas dan semberono ke atas SPRM yang melakukan lawatan siasatan semalam.

“Nasihat saya kepada Menteri Besar Selangor, janganlah buat tuduhan memperlekehkan SPRM dan mengeluarkan kenyataan beremosi. Kerajaan Negeri Selangor dan Pejabat Menteri Besar sewajarnya bertindak positif dan memperlihatkan politik matang.

“Saya berharap pembangkang jangan bermain wayang. Juga jangan mempolitikkan siasatan SPRM ke atas Unisel dan MBI. Kerajaan negeri kena profesional sebelum minta SPRM bertindak profesional,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Jelas beliau, SPRM sebagai badan bebas menjalankan siasatan, yang pastinya melaksanakan tugasan dengan berpandukan aduan atau maklumat yang diterima.

“Bukankah prinsip pembangkang sendiri yang mahu SPRM menjalankan setiap aduan yang dibuat? Jika demikian mengapa melatah dan beremosi dengan tindakan SPRM?

“Saya tidak melihat tindakan SPRM sebagai pendekatan berniat jahat atau dipengaruhi oleh politik atau kepimpinan kerajaan BN. Jangan memberi gambaran kononnya SPRM tidak profesional atau tidak adil. Ini cuma siasatan. SPRM hanya menjalankan tugas mereka sahaja,” bidas beliau.

“Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor juga wajar tahu, dan saya pasti mereka sedia tahu dan sedar bahawa SPRM juga pernah menjalankan siasatan ke atas pegawai kanan di Johor, Sabah, Kelantan, Melaka dan sebagainya. Ada antara kerajaan negeri terbabit ditadbir oleh BN. Malah pemimpin-pemimpin kanan parti BN dan UMNO juga disiasat.

Oleh itu, beliau selaku anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR), amat yakin bahawa SPRM tidak ada sebarang niat jahat dalam siasatan membabitkan Unisel dan MBI.

Awal tahun ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM pernah meminta semua pihak khususnya ahli-ahli politik dan parti politik memberikan kerjasama dalam menjayakan usaha membanteras rasuah.

“Apakah SPRM bertindak mengikut sesuka hari? Saya pasti tidak! Apabila SPRM menyiasat, kami di BN tidak pernah mengecam atau mengkritik SPRM. Yang mendakwa SPRM bermain “wayang” adalah pembangkang.

“Apa yang dilakukan oleh SPRM pada hari ini adalah komitmen Suruhanjaya dan kepimpinan mereka dalam mencegah rasuah.”

Selaras dengan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor amat yakin bahawa SPRM akan menyiasat secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh tekanan politik. – MediaUMNO

  • Infografik