Ku Nan Gesa Ahli UMNO Tangkis Dakyah Pembangkang

PUTRAJAYA 23 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menggesa ahli parti agar terus menangkis segala dakyah dan tohmahan pembangkang serta pelbagai persepsi negatif yang dibawa mereka dalam usaha mengelirukan rakyat.

Menurut beliau perjuangan UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya melaksanakan khidmat dan tanggungjawab terhadap rakyat cuba dimomokkan oleh pembangkang dengan persepsi yang pelbagai demi keuntungan politik mereka semata-mata.

“Kita mempunyai struktur sepertimana rakan komponen kita yang lain. Janganlah kita cuba hancurkan dan runtuhkan struktur itu. Part-parti baru yang ditubuhkan contohnya adalah atas dasar kekecewaan. Kita percaya dan yakin rakyat akan meletakkan kepercayaan terhadap parti yang mempunyai landasan serta dasar dan tujuan khususnya membawa negara ini ke depan.

“Akar umbi faham…kita adalah parti akar umbi dan akan terus mendekati masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Terdahulu sebelum itu berlangsung mesyuarat UMNO bahagian Putrajaya yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kasim, di Hotel Everly.

Tengku Adnan seterusnya yakin usaha pembangkang tidak akan berjaya termasuklah untuk melihat parti berkenaan terus lemah.

“Mereka sedaya upaya akan cuba paparkan UMNO ini khususnya institusi presiden kita dengan macam-macam namun kita percaya dan cukup yakin ahli parti berdiri teguh di belakang presiden,” katanya.- MediaUMNO

  • Infografik