Parti Komponen Perlu Bersama UMNO Menangi Hati Pengundi Cina

PARIT BUNTAR, 20 Ogos – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bekerja kuat bersama-sama UMNO untuk memenangi hati pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setiap parti komponen saling memerlukan sokongan antara satu sama lain di mana-mana kerusi yang ditandingi.

Beliau berkata masyarakat Cina perlu disedarkan bahawa hanya kerajaan yang stabil dapat membantu meningkatkan ekonomi mereka.

“Pembangkang kini menjadi caca marba misalnya dari segi kepimpinan yang tidak sepakat. Kalau mereka menang pilihan raya pasti akan berbalah untuk menentukan siapa jadi perdana menteri.

“Masyarakat Cina perlu sedar apabila ekonomi kerajaan bertambah, penduduk luar bandar mendapat faedah kerana banyak pelaburan dalam negara, manakala kaum Cina boleh membesarkan perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Buntar di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kerajaan BN yang ada hari ini adalah didokongi parti komponen yang stabil dan mampu untuk berpakat, berbeza dengan pakatan pembangkang.

  • Infografik