UMNO Bukan Parti Saya, Milik Ahli Parti – Najib

ALOR GAJAH, 13 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata UMNO bukanlah parti milik beliau sebaliknya menjadi milik kepada seluruh ahli parti berkenaan dan kedudukannya sebagai Presiden UMNO adalah hasil daripada kepercayaan ahli-ahli parti.

Malah menurutnya, langkah membuka pemilihan Presiden UMNO menjadi bukti yang jelas bahawa parti berkenaan bukanlah milik beliau semata-mata.

“Kalau orang kata UMNO milik Najib… bila masa UMNO milik Najib… Tun Dr Mahathir jadi presiden bukan sebab dia popular… sebaliknya kerana tindakannya ‘mengunci’ kepimpinan tertinggi parti dengan ‘undi kuota’ dan ‘undi bonus’. Pada 1987 beliau bertanding lawan Tengku Razaleigh Hamzah dia menang dengan 43 undi sahaja….

“Waktu itu saya Ketua Pemuda UMNO walaupun rapat dengan Tengku Razaleigh tetapi saya meletakkan prinsip wala’ sebab Tun Mahathir sebagai Ketua maka saya ketepikan perasaan hubungan peribadi dengan Tengku Razaleigh. Saya katakan mesti sokong Tun Mahathir,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan perwakilan UMNO bahagian tersebut.

Tambah Najib, langkah membuka pemilihan Presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggotanya pada 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukanlah milik beliau seorang, berbeza dengan zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme ‘undi kuota’ dan ‘undi bonus’ setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

“Masa saya jadi Presiden UMNO, saya mansuhkan (undi kuota dan undi bonus) malah nasib saya, saya serahkan kepada lebih 165,000 ahli UMNO seluruh negara serentak yang mana lebih 165,000 ahli UMNO ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

“Akhirnya saya menang tanpa bertanding, (membuktikan) UMNO sokong secara terbuka kepimpinan saya, bukti UMNO bukan milik saya tetapi milik semua ahlinya. Zaman saya tidak ada ISA..zaman Tun Mahathir ada ISA. Siapa lebih diktator…. UMNO lebih terbuka hari ini berbanding masa lalu. Saya seorang pemimpin yang menjadi pemimpin kerana sokongan ahli dan saya akan membuat yang terbaik,” katanya lagi. – MediaUMNO

  • Infografik