UMNO Akan Turun Padang Terang Dasar Perjuangan Parti – Annuar Musa

TAMBUN, 13 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Jabatan Penerangan UMNO Malaysia akan mengadakan jelajah ke peringkat akar umbi bagi menerangkan soal-soal mengenai roh perjuangan UMNO yang menjadi dasar atau pokok perjuangan yang selama ini menjadi teras kepada kekuatan parti.

Menurut Annuar, sebaik sahaja selesai mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara, beliau akan turun ke peringkat akar umbi untuk bertemu dengan kelompok-kelompok kecil bagi tujuan tersebut.

“Kita jangan asyik bercakap tentang isu-isu semasa sahaja sehingga kita tertinggal untuk bercakap tentang soal dasar. Isu-isu semasa seperti ini takkan habis. Selepas satu isu akan timbul isu yang lain. Seperti isu 1MDB, isu GST dan soal-soal lain takkan habis.

“Dalam menerangkan tentang isu-isu semasa, kita juga mesti menggalakkan rakyat memikirkan soal dasar kepada pembinaan negara bangsa yang telah menjadi asas dan fundamental  yang kukuh dalam menjadikan Malaysia seperti yang ada hari ini. Kita boleh menegur dan mengkritik kerajaan tetapi bila tiba masa untuk memberikan mandat dalam piliahn raya, kita mesti kembali memikirkan soal asas yang menjadi kekuatan kita selama ini.

“UMNO dan Barisan Nasional bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna secara total. Jika ada salah boleh saja ditegur. Perdana Menteri kita juga bukan maksum sehingga tidak boleh ditegur, tetapi dalam soal mandat untuk memilih kerajaan, ia satu soal yang besar, di mana kita tidak boleh mengikut emosi apatah lagi sentimen perkauman,” tegasnya .

Beliau berkata demikian selepas selesai merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tambun bertempat di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Tambah Annuar lagi, asasnya ialah rakyat tidak boleh membiarkan negara ini dipimpin oleh satu gabungan parti politik yang rapuh seperti pakatan harapan.

“Adalah sangat berbahaya jika kita membiarkan negara ditadbir oleh satu gabungan yang rapuh seperti pakatan harapan. Ianya sangat berbahaya kepada pembangunan sebuah negara bangsa. Satu pakatan yang tidak ketentuan apa dasarnya, tidak ketentuan dari segi siapa ketuanya.

“Kita tidak boleh menggadaikan nasib sebuah bangsa dengan memberikan mandat kepada sebuah pakatan yang rapuh seperti gabungan pakatan parti pembangkang yang ada hari ini. Kita boleh nilai bagaimana ketika Dap bekerjasama dengan Pas, mereka berkata itulah pakatan terbaik.

“Tetapi hakikatnya gabungan yang dikatakan terbaik itu tidak bertahan lama dan akhirnya berpecah. Sama juga sepertimana wujudnya Angkata Perpaduan Ummah sebagai alternatif kepada BN suatu waktu dulu, namun ia hanya bertahan selama lima tahun sahaja.

“Jadi kita tidak boleh memperjudikan nasib dengan meletakkan harapan kepada gabungan atau pakatan yang semata-mata bergabung kerana mempunyai musuh yang sama, tetapi tidak mempunyai sebarang matlamat serta perjuangan yang lebih penting dari itu dalam kerangka untuk membina sebuah negara bangsa seperti Malaysia ini,” ujarnya.

UMNO kata Annuar lagi, tetap akan menjaga hak-hak kumpulan minoriti seperti kaum Cina dan India yang telah menjadi salah satu dasar kepada perjuangan UMNO sejak dari awal ditubuhkan lagi.

“Kita merupakan sebuah negara berbilang kaum. Sudah tentu UMNO sebagai sebuah parti tunggak dan terbesar mesti menjaga kepentingan kaum-kaum minorit. Kepentingan kaum Cina dan India, mesti menjadi perjuangan UMNO. Sebab itulah antara dasar UMNO ditubuhkan. UMNO bukan ditubuhkan untuk bergerak secara solo hanya untuk orang Melayu sahaja.

“Ada pihak yang melabelkan kita sebagai kafir, rasis kerana kita bergerak bersama orang-orang Cina dan India. Itu adalah label musuh-musuh UMNO dan BN kepada kita. Namun UMNO, terutamanya parti-parti komponen seperti MCA dan MIC mestilah tegak berani untuk menyatakan bahawa perjuangan UMNO adalah untuk semua, dan ianya telah pun terbukti selama ini,” jelasnya.-MediaUMNO

  • Infografik