Pemuda UMNO Perlu Main Peranan Sebagai Pendesak – Adnan

KUANTAN, 13 Ogos — Pergerakan Pemuda UMNO Pahang perlu memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak bagi menyalurkan permintaan rakyat kepada kerajaan, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata Pemuda UMNO Pahang juga seharusnya turut sama dalam merancang penyelesaian kepada permasalahan yang diajukan kerana pemikiran mereka sebagai golongan muda sudah pasti mencerminkan hasrat golongan itu.

“Pemuda UMNO perlu membuat desakan dan cari jalan untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. Tunjukkan bahawa kita prihatin, jangan duduk sahaja. Tapi tindakan itu perlu dilakukan dengan cara yang betul. Hendak kritik pun ada cara,” katanya.

Adnan berkata demikian semasa berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pemuda UMNO negeri Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu, Menteri Besar Pahang itu tersebut turut menegaskan kepentingan anggota Pemuda UMNO untuk bekerja keras bagi mengekalkan dan menambah bilangan kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Adnan menambah Pemuda UMNO tidak lagi boleh bersikap sambil lewa atau hanya menunggu saat-saat akhir PRU-14 sebelum bekerja, sebaliknya perlu mengukuhkan jentera parti bagi menjamin kemenangan parti untuk membela nasib agama, bangsa dan negara.

“Perlu diingat asasnya adalah pilihan raya umum. Parti politik yang tiada kerusi mencukupi dalam Dewan Rakyat tidak boleh mentadbir. Jika gagal mendapat majoriti dua pertiga pun susah untuk membuat undang-undang,” katanya.

Adnan juga menyifatkan penubuhan Jentera Pilihan Raya Pemuda UMNO Pahang sebagai “lambang bahawa golongan muda telah matang dan semakin faham dengan keperluan politik pada masa kini.”

“Ini bermaksud orang muda sudah berada dalam keadaan bersiap sedia dan hanya menunggu isyarat untuk digerakkan pada bila-bila masa. Bagaimanapun, kerja ini bukan hanya tunggu piihan raya diadakan, tapi perlu berjalan dari semasa ke semasa,” katanya.

  • Infografik